KHAIRIL Anuar (tengah) pada majlis pengumuman keputusan kewangan suku kedua 2017, semalam.
KHAIRIL Anuar (tengah) pada majlis pengumuman keputusan kewangan suku kedua 2017, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) bagi separuh kedua tahun ini pada kadar RM2,700 hingga RM2,900 satu tan.

Pegawai Bertanggungjawab FGV Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, ia dipacu permintaan MSM yang terus meningkat dalam segmen eksport.

Beliau berkata, permintaan dari China dijangka meningkat berikutan dua musim perayaan utama di negara itu serta India yang bakal menyambut sambutan Deepavali.

“Indonesia juga dilihat melaksana dan menguatkuasakan sifar cukai bagi MSM serta koko. Oleh itu, kami percaya ia menggalakkan lagi harga MSM kepada paras lebih baik.

“Kami menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) untuk separuh kedua tahun ini bertambah baik disebabkan peningkatan pengeluaran hasil berikutan pertambahan pekerja asing serta hasil yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media pengumuman kewangan suku kedua 2017 FGV, di sini, semalam.

Menurutnya, FGV berada di landasan betul untuk mencapai sasaran tanam semula sebanyak 14,000 hektar setahun di mana 10,000 hektar ladang ditebang dan daripada jumlah berkenaan 1,478 hektar ditanam pada separuh pertama ini.

Keuntungan sektor perladangan mencatatkan peningkatan memberangsangkan kepada RM148 juta untuk separuh pertama 2017 berbanding rugi RM9.69 juta tempoh sama tahun lalu disokong margin MSM yang tinggi, pengeluaran MSM yang meningkat 12 peratus dan kos pengeluaran MSM menurun 3.0 peratus.

Sementara itu, FGV mencatatkan untung sebelum cukai (PBT) RM87 juta bagi suku kedua 2017 naik berbanding kerugian RM31 juta pada suku sebelumnya (suku pertama 2017).

Bagi separuh pertama 2017, perolehan FGV meningkat 8.0 peratus daripada RM7.9 bilion kepada RM8.55 bilion manakala PBT meningkat 33 peratus kepada RM56 juta berbanding tempoh sama tahun lalu disokong pendapatan tinggi daripada Sektor Perladangan dan Logistik & Lain-lain (LO).

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) FGV menurun kepada RM26 juta bagi suku kedua 2017 berbanding RM74 juta yang direkodkan tempoh sama sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 8:36 AM