NORAIDA (dua dari kiri) melihat ruang pameran Galeri Jualan Hartanah PKNS.
Nur Izzati Izzah Nadzi
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membuka Galeri Jualan Hartanah di Jalan Setia Perdana, Setia Alam, di sini, semalam.

Pembukaan galeri berkenaan sebagai Pusat Sehenti kepada pengunjung dan bakal pembeli yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan projek hartanah dibangunkan PKNS di Wilayah Utara Selangor.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS Ishak Hashim berkata, pembukaan galeri itu menjimatkan masa pengunjung apabila boleh terus melawat rumah contoh di Setia Alam berbanding perlu ke Kompleks PKNS di Shah Alam.

“Unit rumah contoh yang disediakan di sini lebih dekat dan pengunjung boleh mendapatkan maklumat terus daripada eksekutif jualan PKNS.

“Menariknya, projek yang dibangunkan di lokasi ini strategik dan lengkap dengan kemudahan insfrastruktur termasuk sekolah, pusat konvensyen, pusat beli-belah dan stesen minyak,” katanya selepas majlis perasmian galeri itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof.

Beliau berkata, pembangunan PKNS di Alam Nusantara, Setia Alam pada 2009 berkeluasan 247 hektar menawarkan rekaan dan senibina moden.

Katanya, PKNS membina kediaman berkonsep rumah pintar yang membolehkan kawalan pintar jarak jauh seperti kediaman tiga tingkat di Anggun Kirana, Setia Alam.

“Selain itu, kami menampilkan kemudahan canggih seperti lif peribadi berkonsep Green Building Index (GBI) bagi kediaman banglo di Hijauan Enklaf.

“Ia antara projek hartanah terbaru dibangunkan PKNS yang menerima pengiktifaran Best Landed Development Prestigious Developer Awards pada 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:20 AM