PENGUNJUNG yang hadir pada Pameran #mydigitalmaker 2017.
PENGUNJUNG yang hadir pada Pameran #mydigitalmaker 2017.
 Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Inisiatif MyDigitalMaker oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bakal mempersiapkan 5.5 juta anak muda di peringkat sekolah ke arah generasi inovatif masa depan, sekali gus mengisi satu juta keperluan tenaga kerja ekonomi digital menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood berkata, ia cabaran besar bagi negara ini terutama dalam melakukan persediaan bagi mengisi keperluan itu memandangkan 65 peratus pekerjaan sedia ada di Malaysia diramalkan tidak lagi wujud pada 2027.

Bagaimanapun, katanya, cabaran itu bukan hanya dihadapi Malaysia tetapi juga negara lain yang turut berusaha memberi pendedahan terhadap ekonomi digital supaya dapat melahirkan bakat bersesuaian.

“Kita perlu pastikan persiapan dilakukan untuk melahirkan bakat dalam dunia baru ekonomi digital. Sekarang ini juga sudah wujud industri ekonomi digital yang memerlukan bakat dalam bidang komputer, perisian dan jurutera perisian tetapi terdapat kekurangan sekitar 7,000 hingga 10,000 orang.

“Dijangkakan menjelang 2025, seramai satu juta pekerja dalam bidang ekonomi digital diperlukan dan apa yang harus dilakukan ialah mencari bakat ke arah masa hadapan.

“Ini boleh dilakukan menerusi pelajar sekolah dengan memberi pendedahan sebanyak mana yang mungkin terutama dalam bidang pekerjaan masa hadapan. Namun, cabaran ini bukan saja di Malaysia tetapi juga setiap negara,” katanya ketika ditemui pada Pameran #mydigitalmaker 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Acara dua hari itu diadakan sempena Festival Sains Petrosains 2017 (PSF 2017) sebagai platform untuk memberi pendedahan dan mempromosikan teknologi digital kepada orang ramai khususnya pelajar sekolah.

Antara aktiviti diadakan termasuk Fun Digital Games: Malaysian Heroes Unleashed, ceramah kerjaya kreatif dan industri permainan game, cabaran Pemikiran Komputasional (CT) serta sesi perkongsian pengalaman bersama Digital Ninjas.

Selain itu, Yasmin berkata, pihaknya sedang mempergiatkan usaha menerusi MyDigitalMaker untuk memberi lebih pendedahan dunia digital secara sama rata kepada anak muda di bandar mahupun luar bandar.

“Sejak setahun lalu, kita dapati ada juga kanak-kanak di luar bandar termasuk anak nelayan menjadi pencipta inovasi. Walaupun masih banyak usaha perlu dilakukan, namun kita harap dapat memberi pendedahan sama rata ke seluruh negara di peringkat sekolah melalui Kementerian Pendidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 1:02 AM