Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Syarikat multinasional tempatan digalakkan membuat pelaburan di pasaran luar negara bagi mendapatkan pulangan yang lebih baik dan menjadi pelabur global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, syarikat tempatan perlu mempelbagaikan strategi pelaburan terutama di luar negara kerana saiz pasaran yang besar.

Beliau berkata, walaupun terdapat anggapan pelaburan di luar negara amat berisiko tinggi, namun hal itu tidak semestinya benar.

“Sebagai contoh, kira-kira 70 peratus pulangan Petronas datang daripada pelaburan luar negaranya dan banyak lagi syarikat tempatan yang membuat pelaburan di luar negara seperti Sime Darby, YTL dan banyak lagi.

“Penting untuk melakukan pelaburan di luar negara bukan saja untuk mendapatkan pulangan lebih besar, tetapi mengeratkan lagi hubungan perdagangan antara negara terbabit,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Hari Terbuka Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menteri Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jayasiri Jayasena dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud.

Mustapa diminta mengulas mengenai pelaburan Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang dibincangkan susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Washington, baru-baru ini.

Malaysia akan melabur sehingga AS$24 billion (RM100 billion) di AS.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, delegasi Malaysia mempunyai beberapa cadangan khusus.

Malah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad turut merancang meningkatkan pelaburan mereka di AS.

Mustapa berkata, AS antara negara terkaya di dunia dan sehingga kini AS sudah membuat pelaburan lebih RM70 bilion dalam sektor pembuatan di Malaysia.

Pada 2014, hubungan Malaysia dan AS dinaik taraf ke status ‘Comprehensive Partnership’ membabitkan bidang kerjasama utama seperti ekonomi dan perdagangan, pendidikan, pertahanan dan keselamatan serta sains dan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 1:11 AM
MUSTAPA (tengah) bersama Azman (kiri) ketika gimik pelancaran Hari Terbuka MIDA 2017 di Ibu Pejabat MIDA, KL Sentral. Turut kelihatan, Ong (dua dari kanan), Ahmad (kanan) dan Jayasiri.