YAP (dua dari kiri) pada sidang media AmBank BizRACE.
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown : Perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendorong Kumpulan AmBank melalui Bahagian Perbankan Perniagaan melancarkan program cabaran keusahawanan ‘AmBank BizRACE’.

Ia sebahagian daripada usaha AmBank bagi menyediakan sokongan tambahan kepada PKS yang melangkaui penawaran kemudahan kewangan.

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank Christopher Yap berkata, AmBank BizRACE memberi peluang kepada usahawan PKS untuk terbabit dalam sesi perkongsian pengetahuan dan latihan pembangunan.

Beliau berkata, ia merangkumi aspek pembangunan kepemimpinan, penambahbaikan model perniagaan, sistem dan struktur serta budaya transformasi, malah peserta akan menikmati akses pasaran lebih luas daripada perspektif penjenamaan.

“Dalam banyak program hanya memberi fokus kepada syarikat permulaan apabila PKS disediakan dengan peralatan untuk berjaya di peringkat awal perniagaan tetapi selepas itu mereka dibiarkan menguruskan risiko perniagaan sendiri.

“Sebagai institusi kewangan, AmBank berbalik semula kepada perkara asas dengan memberi fokus terhadap pekerja dalam syarikat dan bukan hanya memberi pinjaman kewangan, sebaliknya membantu mereka dalam jangka masa panjang.

“Justeru, AmBank Biz RACE akan membantu mengenal pasti usahawan PKS yang mahu meningkatkan skala perniagaan mereka ke tahap tertinggi serta menyediakan platform kepada mereka menerusi program ini,” katanya pada sidang media, di sini.

AmBank BizRACE akan berakhir 15 November ini dan 100 pemohon terbaik akan ditawarkan mengikuti pelan penskalaan pertumbuhan bersama panel hakim termasuk Pengarah Urusan Google Rantau Malaysia, Vietnam dan Singapura atau Ketua Pegawai Eksekutif Credit Guarantee Corporation Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Peserta yang layak ke kategori 15 terbaik akan menerima pakej latihan pembangunan secara percuma bernilai sehingga RM350,000, selain peluang latihan bimbingan dengan usahawan berpengalaman.

Kategori lima PKS terbaik pula akan mendapat peluang eksklusif untuk menjalin perangkaian dengan usahawan terkemuka antarabangsa, manakala peserta kategori tiga terbaik pula akan mendapat pakej media bernilai RM595,000 bagi syarikat masing-masing.

Mengikut statistik terkini, 97.3 peratus syarikat di Malaysia tergolong dalam PKS dan sumbangannya dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah berbanding negara berpendapatan sederhana lain, malah hampir 80 peratus PKS gagal bertahan melepas tahun ketiga penubuhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 2:29 AM