jaringan pengangkutan menjadi pemangkin paling penting untuk dijadikan asas memilih lokasi hartanah.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Dalam membuat keputusan pembelian sesuatu hartanah, lazimnya orang ramai akan menjadikan lokasi sebagai pilihan utama, namun untuk mengenal pasti lokasi yang dikatakan strategik atau ‘panas’, terdapat teknik yang perlu diketahui setiap bakal pembeli atau pelabur.

Pengasas Hartanahguru.com Aziz Ahmad berkata, sebenarnya setiap orang mampu untuk meramalkan kawasan yang boleh menjadi seperti Subang Jaya, Damansara atau Puchong pada masa hadapan.

“Bagaimana kita boleh tahu? Kita boleh tahu dengan melihat kepada pemangkin hartanah yang wujud dan akan wujud di kawasan berkenaan.

“Terdapat beberapa petunjuk yang boleh dijadikan asas untuk kita menilai sama ada harga hartanah di sesuatu kawasan itu boleh meningkat atau sebaliknya pada masa akan datang,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, jaringan pengangkutan menjadi pemangkin paling penting untuk dijadikan asas kepada jangkaan dan ramalan dibuat dan ia meliputi jaringan lebuh raya, perkhidmatan tren aliran ringan (LRT) dan tren aliran massa (MRT).

Katanya, menerusi jaringan pengangkutan itu, ia akan memudahkan pengguna berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan tentu orang ramai lebih suka membeli atau menyewa rumah yang terdapat lebuh raya, LRT atau MRT yang memudahkan perjalanan dan mengurangkan kos hidup.

“Bagaimanapun, orang ramai jangan cepat teruja apabila melihat iklan hartanah untuk dijual yang dikatakan dekat dengan lebuh raya, LRT atau MRT. Kaji dulu apa dimaksudkan dekat itu.

“Dalam hal ini, lawatan ke tapak perlu dibuat bagi memastikan hartanah berkenaan memang berdekatan jaringan pengangkutan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kehadiran industri baru ke sesuatu kawasan juga dapat memberikan kesan kenaikan harga kepada hartanah di sesuatu kawasan.

“Industri yang dibawa masuk ke kawasan berkenaan akan membawa masuk pekerja untuk menyokong industri itu, sekali gus menambah populasi di kawasan terbabit.

“Apabila kita dengar berita syarikat A membuka kilang dan menawarkan peluang pekerjaan kepada 4,000 pekerja, kita perlu lihat berita itu sebagai satu peluang.

“Apabila beroperasi nanti, ada lebih kurang 4,000 keluarga memerlukan rumah untuk disewa atau dibeli.

“Apabila permintaan terhadap rumah sewa atau rumah untuk dijual tinggi, harga sewa dan harga jual juga akan tinggi,” katanya.

Antara industri memberikan kesan besar kepada harga rumah ialah perkilangan, minyak dan gas, teknologi maklumat, penerbangan dan kewangan.

Beliau berkata, pasaran hartanah menjadi sangat menarik apabila pusat pendidikan atau universiti baru dibuka di kawasan berkenaan.

Biasanya, universiti baru bakal menempatkan 20,000 pelajar apabila siap sepenuhnya dan bayangkan 20,000 pelajar membanjiri kawasan berkenaan, ditambah lagi dengan ribuan tenaga pengajar dan staf sokongan universiti yang pasti memerlukan bekalan rumah sewa atau rumah untuk dibeli.

“Ini akan menjadikan permintaan tinggi dan harga rumah di kawasan itu juga meningkat. Selain universiti, sekolah antarabangsa dan sekolah Cina juga menjadi pemangkin kepada harga rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 3:30 AM