PEMASANGAN reaktor EO terbesar di PIC.
HM Digital

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjaya memasang reaktor Ethylene Oxide (EO) terbesar bagi loji penapis minyaknya yang sedang dibina dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC), Colin Wong Hee Huing dalam kenyataan berkata, setiap daripada dua reaktor itu adalah peralatan kejuruteraan yang benar-benar canggih, berukuran 7.4 meter garis pusat dengan ketinggian 25.5 meter dan seberat 1,202 tan.

“Ini menjadikan kedua-duanya antara reaktor EO terbesar di dunia,” katanya selepas upacara pemasangan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Engineering, Choong Heum Park.

“Pemasangan reaktor yang berjaya itu menandakan projek PIC akan dapat memulakan penapisan pertamanya dalam suku pertama 2019.

“Pada Ogos 2017, keseluruhan kemajuan pembangunan PIC hampir 74.3 peratus siap,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut memuji usaha semua pihak dalam memastikan kerja-kerja pemasangan dijalankan dengan cekap dan selamat.

Dibangunkan di kawasan seluas 2,526 hektar dengan pelaburan AS$27 bilion (RM115 bilion), di tengah-tengah PIC ialah projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 9:17 AM