RODEROS (kanan) dan Farahani menunjukkan produk Guardian yang memiliki pensijilan halal.
HM Digital

Petaling Jaya: Mementingkan kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan penggunanya, Guardian, rantaian farmasi dan peruncit kecantikan terkemuka Malaysia kini mempunyai pensijilan halal bagi kebanyakan produk keluarannya.

Pengarah Jenama Korporat Kesihatan dan Kecantikan Guardian Alfonso Roderos berkata, semua produk jenama milik Guardian dikilangkan dengan piawaian kualiti tinggi, sudah diuji dan dibuktikan secara dermatologi selain semakin banyak produk mematuhi garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kami dengan bangga mengumumkan majoriti daripada kira-kira lebih 400 produk keluaran Guardian kini mendapat pengesahan JAKIM dan selebihnya di pelbagai peringkat proses pengesahan bagi mendapatkan sijil halal.

“Malah, kami juga kini dalam proses menghasilkan pembungkusan baru yang memaparkan logo halal JAKIM.

“Antara produk yang diberi pengesahan halal termasuk gel mandian, gel mandian bayi, losyen bayi, cecair pembersih wanita dan vitamin untuk kanak-kanak,” katanya pada majlis pengenalan produk halal Guardian, di sini, semalam.

Hadir sama Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Kerajaan Guardian Farahani Failul Rahman dan Pensyarah Akademi Pengajian Kontemporari Islam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat.

Menurut laporan Research and Market, pasaran penjagaan peribadi halal dunia mencecah kira-kira AS$52.02 bilion bersandarkan kepada kesedaran umat Islam serta penerimaan golongan bukan Islam terhadap produk yang disahkan halal.

Selain itu, Malaysia dan Indonesia membentuk 60 peratus pasaran penjualan produk halal di Asia Pasifik dengan segmen penjagaan kulit dan solekan menjadi produk pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 8:48 AM