KAMARUL
KAMARUL
HM Digital

Kuala Lumpur: Affin Holdings Berhad memberi fokus kepada segmen peruncitannya didorong pelaksanaan penstrukturan semula kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, penstrukturan semula itu meringkaskan struktur pegangan saham kumpulan Affin dan mengurangkan lapisan struktur korporatnya.

Katanya, sebelum ini bank lebih memfokus kepada pinjaman korporat dan sekarang pihaknya merancang mengembangkan sektor pinjaman runcit.

“Kami perlu meningkatkan kecekapan, keupayaan menyesuaikan diri dan produktiviti untuk membolehkan kami melangkah maju dalam sektor perbankan yang kompetitif dan dinamik.

“Sebelum ini, peratusan nisbah pinjaman kami adalah 55 peratus korporat dan 45 peratus runcit. Bagaimanapun, segmen runcit menunjukkan peningkatan iaitu lebih kurang 50 peratus buat masa ini,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Affin, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Zahidi.

Menerusi EGM terbabit, pemegang saham meluluskan pelaksanaan korporat kumpulan Affin yang membolehkan pemindahan status penyenaraian daripada Affin Holdings kepada Affin Bank Berhad dan pelaksanaan itu dijangka disempurnakan pada separuh pertama 2018.

Kamarul berkata, penyusunan semula itu membolehkan syarikat mengembangkan modal sebagai aset penuh bagi semua entiti di bawah Affin Bank dan bank mempunyai akses terus ke pasaran modal dan ekuiti.

“Modal bank perdagangan dan kumpulan yang disatukan lebih besar dan bank akan mempunyai akses kepada syarikat broker saham, insurans dan entiti kewangannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:54 AM
Digital NSTP Subscribe