KIM (tengah) pada majlis sambutan Ulang Tahun Pertama CJ Wow Shop di Studio 1 NTV7 Glenmarie.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: CJ Wow Shop, rangkaian beli-belah melalui pelbagai platform di rumah komited untuk meneruskan kerjasama rapat dengan jenama tempatan dalam usaha mengukuhkan pertumbuhannya di pasaran negara ini pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kim Yang Hyun berkata, syarikat mahu peniaga tempatan melihat CJ Wow Shop bukan sekadar platform jualan namun sebagai rakan potensi untuk mempromosikan dan mencatatkan trafik tinggi bagi jenama masing-masing.

“Kami yakin capaian luas yang dimiliki akan menarik lebih ramai peniaga menyertai CJ Wow Shop kerana ia platform kukuh untuk mengembangkan perniagaan dengan menghubungkan mereka dengan saiz audien lebih meluas,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Sebelum ini, beberapa syarikat tempatan menjalinkan kerjasama bagi memasarkan produk di platform CJ Wow Shop termasuk Ariani iaitu pengeluar jenama fesyen Muslimah, Jakel (peruncit tekstil terkemuka) dan Winds Note Mobile (pengeluar peranti mudah alih).

Beliau berkata, kajian dalaman syarikat menunjukkan kebanyakan pembeli lebih memberi keutamaan kepada keselesaan membeli-belah, manakala satu lagi kajian berasingan mendapati kebanyakan rakyat Malaysia menjadikan peranti mudah alih sebagai satu perkara yang diperlukan untuk aktiviti terbabit.

Menurutnya, apa paling menarik adalah 34 peratus daripada rakyat Malaysia melakukan pembelian produk atau perkhidmatan melalui peranti mudah alih masing-masing dalam tempoh enam bulan lalu.

“Situasi itu membuatkan kami fokus kepada usaha menjalinkan kerjasama dengan jenama tempatan untuk memacu potensi tawaran e-dagang dan mudah alih kami di samping menyepadukan demonstrasi produk di semua saluran televisyen kami bagi menyediakan akses kepada maklumat bagi produk berpatutan dan menikmati promosi eksklusif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, CJ Wow Shop merancang melancarkan saluran 24 jam di platform televisyen digital MYTV menjelang hujung tahun ini sebagai usaha meluaskan lagi capaian dan liputan rangkaian itu kepada rakyat di negara ini.

Kim berkata, langkah itu bakal dilaksanakan berikutan kajian dalaman syarikat turut mendapati wujud permintaan dominan bagi menyiarkan demonstrasi produk sepanjang hari.

“Kami sentiasa komited dalam meningkatkan pengalaman beli-belah pelanggan dan meneruskan lebih banyak kerjasama strategik dengan rakan niaga tempatan yang dijangka dapat membantu syarikat untuk mencapai pertumbuhan positif tahun depan,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran jualan tahun ini, beliau berkata, syarikatnya kini berada di landasan tepat bagi menggandakan jumlah jualan kepada RM120 juta melalui pelaksanaan kempen yang berlangsung sepanjang tahun ini.

“Kami yakin mampu mencapai sasaran itu melalui penganjuran kempen sambutan 1 Tahun Bersama Wow pada April lalu yang boleh dianggap sebagai kejayaan komersial kami, sekali gus menjadi rangkaian beli-belah rumah paling pantas berkembang di Malaysia.

“Selain itu, kempen Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow yang berlangsung pada Jun lalu dan menawarkan empat hadiah utama iaitu kereta Proton Ertiga dilihat turut menjadi daya penarik utama kepada aktiviti beli-belah di semua saluran kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 8:59 AM