KENDERAAN konsep Sports EV.
Mohd Razlan Salleh


Tokyo: Honda Motor Co Ltd akan terus membangunkan jentera mesra alam dan elektrik bagi menerajui pasaran automotif dunia dalam 13 tahun akan datang.

Presiden dan Wakil Pengarah Honda Motor Co Ltd Takahiro Hachigo berkata, pihaknya yakin menguasai dua pertiga pasaran pada 2030 dengan 65 peratus produk pengeluarannya segmen kenderaan elektrik dan sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Di peringkat global, Malaysia adalah pasaran kesembilan terbesar selepas Thailand di Asia dan menjadi pasaran terpenting Honda.

“Sepanjang tahun ini sehingga September lalu, Honda berada pada kedudukan kedua segmen kenderaan bukan tempatan, tetapi berjaya meraih kedudukan pertama September tahun lalu,” katanya bersama media Malaysia, Taiwan dan New Zeland di Ibu Pejabat Honda Motor Co Ltd, Aoyama, Tokyo.

Temubual 30 minit itu turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Asia dan Oceania Honda Motor Co Ltd Shinji Aoyama.

Takahiro berkata, sepanjang Januari hingga September lalu, Honda Malaysia menjual 78,742 unit mewakili 36.1 peratus pasaran.


TAKAHIRO

“Bulan lalu, Honda Malaysia menjual 7,906 unit kenderaan.

“Angka ini membuktikan prestasi jualan kenderaan Honda di Malaysia sangat baik,” katanya.

Dalam pada itu, Takahiro tidak menafikan wujud kesukaran untuk memasarkan kenderaan berkuasa elektrik dari negara pengeluar minyak dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan Russia, tetapi pihaknya yakin dengan kehendak pelanggan yang mahukan jentera mesra alam.

“Kenderaan elektrik bukan dicipta untuk bergerak semata-mata tetapi paling penting adalah menjaga alam sekitar dan sifar karbon.

“Majoriti warga dunia ketika ini sepakat mahukan alam sekitar yang lebih bersih dan bebas pencemaran,” katanya.

Menurut Takahiro, pihaknya juga tidak berkompromi terhadap prestasi setiap kenderaan keluarannya.

“Oleh yang sedemikian, Honda tetap memberi fokus terhadap jentera berprestasi antaranya model NSX, Type R dan terbaru, S660,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 8:37 AM