FARIZ
FARIZ
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Trend carian menggunakan Internet bagi mendapatkan maklumat produk menjadi faktor utama, Fariz Abd Rani, 38, menyertai program eUsahawan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Dia yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas terbabit dalam kemalangan motosikal hampir 18 tahun lalu sehingga menyebabkan dirinya lumpuh separuh badan tekad menubuhkan syarikat pembekal peralatan OKU menerusi jenama Orthovive.

Fariz berkata, sejak memulakan perniagaan itu di Sabah pada 2009, dia banyak memberi fokus terhadap pasaran Sabah dan Sarawak secara offline sebelum menyedari terdapat lebih banyak permintaan dari dua negeri terbabit.

“Sejak menyertai eUsahawan dan mendapatkan ilmu berkaitan pemasaran dalam talian yang tepat, saya mula dihubungi pelanggan berpotensi dari seluruh negara.

“Malah saya mendapati pengiklanan di laman sosial seperti Instagram dan Facebook dapat memberikan impak positif di mana data yang dikumpul menunjukkan kebanyakan pelanggan datang dari Semenanjung Malaysia.

“Daripada data terbabit, saya sedar bahawa perniagaan ini tidak boleh hanya tertumpu di pasaran Sabah, sebaliknya perlu dikembangkan ke peringkat lebih tinggi dengan memasuki pasaran baru,” katanya ketika ditemui di program eUsahawan di Pusat Konvensyen Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Fariz berkata, hasil bantuan program terbabit, syarikatnya berupaya mencatatkan jualan sehingga dua kali ganda lebih baik dalam tempoh yang sama berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun ini, kami menyaksikan lebih banyak peningkatan dan penambahbaikan untuk perniagaan pembuatan anggota palsu, kerusi roda dan alat membantu pemulihan kecederaan ini.

“Memandangkan terdapat permintaan memberansangkan di pasaran Semenanjung Malaysia, kami berhasrat untuk mengukuhkan jenama syarikat dengan membuka kilang di sekitar Lembah Klang, tahun depan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang jurulatih program, Mohd Zulhazri Azmi berkata, eUsahawan menyediakan lebih 20 modul daripada aspek pemasaran dalam talian termasuk teknik menulis, penutupan jualan, pengiklanan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Google.

“Melalui kelas dan bimbingan oleh 30 hingga 50 jurulatih, peserta berupaya mengenalpasti kelemahan dalam kaedah pemasaran mereka ssterusnya memperbaikinya mengikut teknik yang betul.

“Program ini percuma dan boleh disertai oleh sesiapa saja khususnya usahawan berumur 18 tahun ke atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 8:54 AM