ANWAR (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Eksekutif Country View, Law Kit Tat pada majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah bagi pembangunan komersial di UEM Sunrise Showcase Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) melaksanakan penjualan plot tanah miliknya di Iskandar Puteri, Johor seluas 66.32 hektar bernilai RM310 juta kepada Country View Bhd (Country View).

Selepas penjualan plot tanah berkenaan, UEM Sunrise memiliki lebihan 4046.8 hektar bank tanah di Johor bernilai RM94 bilion dan majoritinya terletak di kawasan Iskandar Puteri.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, syarikatnya memiliki sekitar 5260.9 hektar bank tanah di seluruh Malaysia dan 4046.8 hektar di Johor termasuk di dalam jumlah berkenaan.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan juga untuk syarikatnya melepaskan bank tanah lain kepada pembeli sekiranya perjanjian yang dilaksanakan mampu memberi kesan yang positif UEM Sunrise dan kawasan setempat.

“Hasil penjualan plot tanah kepada Country View akan digunapakai untuk pembelian bank tanah baru di kawasan Lembah Klang khasnya dan menyuntik pelaburan kepada pembangunan infrastruktur di dalam projek syarikat yang lain antaranya di Puteri Habour.

“Selain itu, dari segi pembelian tanah di luar Lembah Klang penting dan kawasan luar Johor penting untuk syarikat kerana kami tidak mahu dikenali hanya sebagai pemaju di Johor,” katanya pada majlis perjanjian jual dan beli antara UEM Sunrise dan Country View di sini, semalam.

Penjualan plot tanah berkenaan kepada Country View bersandarkan kepada kemampuan syarikat berkenaan membina lebih 15,000 kediaman dan produk hartanah komersial termasuk lebih 5,000 rumah kos rendah di Johor.

Anwar berkata, penjualan plot tanah itu memberi peluang kepada Country View bersama UEM Sunrise membangunkan kawasan Iskandar Puteri yang mempunyai potensi untuk menjadi bandar terkemuka di peringkat antarabangsa.

Katanya, ketika ini Johor berjaya meraih kedudukan bandar paling sesuai untuk didiami di Asia Tenggara dan pembabitan Country View mampu melonjakkan Johor ke kedudukan pertama dalam rekod berkenaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kami berharap Country View dapat membangunkan projek pembangunan bercampur membabitkan kediaman dan komersial di tanah yang baru dimiliki mereka ini.

“Pembangunan berkualiti seperti itu dapat melengkapkan lagi projek pembangunan di sekitarnya seperti di EduCity yang memiliki pelbagai institusi pendidikan seperti Malborough College, Reffles American School dan Universiti Newcastle,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 8:08 AM