NIZAM (kiri) memperkenalkan kad keahlian Kelab Nuri Bank Rakyat yang baru.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur': Bank Rakyat yakin menarik 1.2 juta ahli Kelab Nuri sehingga Oktober tahun depan disokong pelbagai manfaat baru ditawarkan kepada ahlinya.

Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasinya Nizam Sani berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 700,000 ahli Kelab Nuri dan memerlukan lebih kurang 600,000 lagi untuk mencapai sasaran itu.

Katanya, Kelab Nuri Bank Rakyat yang bakal memasuki tahun ke-10 penubuhannya tampil dengan pelbagai pembaharuan dengan kemudahan dan keistimewaan menerusi jalinan kerjasama rakan strategik dalam pelbagai industri.

“Kami menjalin kerjasama dengan industri terbabit dalam pendidikan dan pelancongan bagi membolehkan ahli menikmati pelbagai diskaun eksklusif.

“Bersesuaian dengan imej serta karakter baru Nuri yang bergaya, aktif dan ceria, Kelab Nuri Bank Rakyat menyediakan aktiviti serta program bagi memenuhi keperluan dan gaya hidup kanak-kanak dan remaja masa kini,” katanya di sini, semalam.

Antara manfaat ahli adalah pemberian wang tunai, pelindungan takaful sehingga RM2,000, diskaun eksklusif rakan dagang terpilih dan keutamaan menyertai program anjuran Kelab Nuri.

Bagi calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ahli akan mendapat tuisyen percuma, bengkel peperiksaan dan pengiktirafan kecemerlangan.

Kelab berkonsepkan pendidikan dan gaya hidup ini melanjutkan tempoh keahlian dari usia tiga bulan sehingga 18 tahun berbanding 12 tahun bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan serta keistimewaan bagi tempoh lebih lama.

Yuran keahlian Kelab Nuri Bank Rakyat adalah RM50 pada tahun pertama dan RM10 tahun berikutnya.

Pendaftaran untuk ahli Kelab Nuri Bank Rakyat dibuka bermula semalam dan Bank Rakyat akan menganjurkan siri jelajah dan karnival mini di tiga lokasi iaitu Kedah, Johor dan Kuala Lumpur bermula bulan ini bagi memberi pendedahan kepada golongan sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 2:24 AM