TONY (tujuh dari kiri) bersama barisan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina serta kakitangan AirAsia pada majlis pelancaran corak badan pesawat I Love ASEAN di Pangkalan Tentera Udara Filipina di Manila, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Manila, Filipina: AirAsia Berhad (AirAsia), syarikat penerbangan tambah rendah dunia melihat 2018 sebagai tahun untuk berkembang dengan lebih pesat khususnya dengan pengukuhan rangkaian penerbangan di rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, dengan pertumbuhan memberangsangkan yang dicapai ketika ini, pasaran ASEAN kekal menjadi destinasi tumpuan utama di samping laluan penerbangan rantau lain.

Beliau berkata, selari dengan objektif itu pihaknya juga merancang memperkenalkan beberapa laluan baru yang dijangka akan merancakkan lagi pengukuhan jenama AirAsia dan ASEAN.

“Kita melihat potensi penerbangan dari bandar utama di rantau ASEAN ke bandar kedua dan ketiga adalah besar dan berhasrat untuk memperkenalkan destinasi seumpama itu seperti penerbangan Phuket ke Borracay.

“Malah, selari dengan objektif untuk menjadi jenama syarikat penerbangan yang unggul bagi ASEAN, kami juga yakin melaksanakan integrasi dan mewujudkan syarikat penerbangan ASEAN dalam tempoh lima hingga enam bulan lagi,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas majlis pelancaran corak badan pesawat I Love ASEAN di Pangkalan Tentera Udara Filipina di Manila, semalam.

Ketika ini, AirAsia menghubungkan Kuala Lumpur dengan 25 negara dan melangkaui sempadan rantau berkenaan serta mempunyai lapan syarikat di bawah kumpulannya dengan tiga daripadanya disenaraikan di pasaran awam iaitu AirAsia Bhd, Thai AirAsia Co Ltd dan AirAsia X Bhd.

Kumpulan AirAsia juga yakin AirAsia Filipina dan AirAsia Indonesia masing-masing akan berada di pasaran awam menjelang hujung tahun ini atau pada 2018 memandangkan pasaran itu mempunyai potensi besar bagi pasaran operasi perniagaannya.

Terdahulu, AirAsia memperkenalkan corak badan pesawat dengan identiti 10 negara anggota ASEAN bersempena sambutan ke-50 gabungan serantau terbabit.

Corak badan pesawat itu memaparkan gabungan imej batik cetak (Malaysia), poom khao bin (Thailand), ulos Batak (Indonesia), tapis (Filipina), trong dong (Vietnam), kbach pka Chan (Kemboja) Lao phouthai (Laos) chate (Myanmar), jongsarat (Brunei) dan Vanda Miss Joaquim (Singapura).

AirAsia turut melancarkan program AirAsia Loves ASEAN, satu siri inisiatif yang memberi tumpuan kepada pendidikan, pembangunan bakat dan ekonomi untuk meraikan 50 tahun ASEAN.

Tony berkata, inisiatif terbabit merangkumi Kerjasama AirAsia dan Universiti ASEAN, Hari Usahawan ASEAN, Kem Wartawan ASEAN dan Program Mobiliti AirAsia Allstars.

“Kami berasa terhutang budi kepada ASEAN atas kejayaan AirAsia selama ini. Sebagai syarikat penerbangan ASEAN, kami ingin menyatukan masyarakat di rantau ini selaras dengan usaha ASEAN selama 50 tahun yang lepas.

“Inisiatif ini adalah salah satu usaha untuk menyumbang kembali kepada rantau ini bersama dengan promosi berterusan ke destinasi ASEAN menerusi penjenamaan dan usaha pemasaran yang membolehkan kita menyatukan komuniti dan ekonomi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 2:26 AM