SUMITRA (kanan) dan Razif ketika taklimat media di Kuala Lumpur.
SUMITRA (kanan) dan Razif ketika taklimat media di Kuala Lumpur.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) komited untuk membantu 50 usahawan yang terpilih melalui Program Coach & Grow MDEC-Cradle (CGP) menerusi kerjasama dengan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle).

Naib Presiden Bakat dan Keusahawanan Digital MDEC Sumitra Nair berkata, Cradle mempunyai kepakaran dan modul sendiri bagi melatih usahawan mengembangkan perniagaan mereka bukan saja dalam negara, malah peringkat global.

Katanya, bagi peringkat permulaan MDEC memilih 50 usahawan iaitu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbaik yang menyertai program e-Usahawan MDEC.

“CGP baru saja diperkenalkan iaitu pada September lalu dan 50 usahawan yang terpilih akan menjalani latihan dari enam hingga sembilan bulan.

“Kami yakin dengan kepakaran Cradle dan sebagai permulaan ini kami tidak meletakkan sebarang unjuran untuk usahawan terbabit, namun paling penting kami mahu usahawan mendapat pendedahan serta meningkatkan jualan mereka,” katanya pada taklimat media, di sini.

Sementara itu, Ketua Operasi Cradle, Razif Abdul Aziz berkata, CGP adalah program berstruktur yang menyediakan bimbingan peribadi dan latihan khusus kepada keperluan perniagaan dan sektor tertentu.

“Kami juga menggunakan modul global Cradle untuk usahawan yang terbabit dalam CGP serta mereka berpeluang dilatih oleh ‘coach’ yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang tertentu, bergantung kepada hala tuju usahawan berkenaan.

“Cradle sendiri sudah berpengalaman melatih lebih 1,000 individu dan lebih 300 syarikat menerusi CGP dan semuanya berjaya merekodkan hasil terkumpul berjumlah RM1.27 bilion,” katanya.

Menurutnya, CGP biasanya akan mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan, tetapi di bawah kerjasama MDEC-Cradle, tempoh ini dipendekkan kepada antara enam dan sembilan bulan, bergantung kepada keperluan usahawan.

“Kami juga akan memantau prestasi peserta untuk melihat jika ada keperluan untuk memanjangkan tempoh latihan.

“Pada akhir tempoh latihan, MDEC akan menjalankan penilaian kepada usahawan dan mereka akan dibantu agensi mikro kredit jika memerlukan bantuan dari segi kewangan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, peserta yang membuat pencapaian cemerlang di bawah CGP dan berjaya mengemukakan model perniagaan yang baik, akan menerima geran atau dana di bawah Program Pelaburan Cradle (CIP) dan Ekuiti Langsang 800 Cradle (DEQ800).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 4:04 AM