NORYATI membantu pekerja melakukan tugasan.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Batu Pahat: Perniagaan & Pembinaan Noor (PPN), merancang untuk mempelbagaikan lagi segmen perniagaan dengan membuka kilang pembuataan longkang dan zink menjelang 2020.

PPN antara 50 syarikat yang berjaya di bawah pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Johor.

Pengurusnya, Noryati Japri berkata, sejak memulakan perniagaan tujuh tahun lalu, syarikatnya hanya membekalkan barangan pembinaan, namun kini PPN mengorak langkah dengan pelbagai cabang perniagaan termasuk pembuatan pintu rumah dan pejabat, pembuatan batu bata, menjual dan menyewa peralatan pembinaan, menjual produk bilik air dan dapur dan barangan elektrik.

“Kami mempunyai 12 lot kedai di mana lapan daripadanya khusus untuk bahan pembinaan, manakala baki empat lagi membabitkan industri pakaian, restoran, cenderahati dan runcit.

“Bagi sektor pembinaan, kami sudah membangunkan rumah, surau dan masjid dengan kos minimum serendah RM40,000 sehingga RM1.2 juta bagi kediaman berkeluasan 600 hingga 4,000 kaki persegi,” katanya.

Noryati berkata, di sebalik cabaran yang dihadapi industri hartanah dan pembinaan negara, PPN masih kekal berdaya saing dengan catatan jualan kira-kira RM500,000 setiap bulan.

Bermula di Parit Sulong, Batu Pahat, PPN berhasrat untuk terus memberi fokus terhadap pasaran sekitar Johor dan Melaka sebelum mengorak langkah lebih jauh dengan menceburi sektor pemaju hartanah dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menurutnya, meskipun perniagaan utama yang diceburi adalah perniagaan yang lebih sinonim dengan golongan lelaki, dia membuktikan bahawa usahawan wanita juga mampu berjaya setanding lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 3:36 AM