BARISAN pengurusan tertinggi Parkson ketika pembukaan perasmian Paradigm Mall Johor Bahru di sini, semalam.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Parkson Corporation Sdn Bhd (Parkson) mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran peruncitan dengan membuka cawangan ke-50 membabitkan pelaburan RM45 juta di Paradigm Mall Johor Bahru, di sini.

Ketua Pegawai Operasinya Law Boon Eng berkata, cawangan kedua terbesar di Malaysia selepas Pavillion Kuala Lumpur itu menjadi pusat beli-belah ikonik baru Parkson selain menawarkan pengalaman beli-belah lebih kondusif dan selesa.

Katanya, dengan keluasan kira-kira 20,000 meter persegi, pusat beli-belah empat tingkat itu menawarkan pengalaman menarik dilengkapi kemudahan kafe, taman permainan kanak-kanak dan pusat senaman yoga.

“Konsep ini ditawarkan kepada semua ahli keluarga dari semua peringkat usia dan menyediakan tawaran, jenama dan konsep yang belum dilihat di mana-mana premis Parkson lain di Johor.

“Ini termasuk kedai konsep kecantikan yang dipanggil Play Up di bahagian kecantikan, jenama tempatan 7 Dayz dan label jenama Sepanyol Sfera dan bahagian konsep baru dipanggil Young World terutamanya fesyen jalanan dan sukan,” katanya.

Sempena majlis pembukaan perasmian Parkson Paradigm Mall itu, 300 pelanggan terawal memperoleh baucar Parkson bernilai RM50 seorang.

Gedung konsep baru itu menampilkan gaya hidup unik membabitkan bahagian pakaian, kasut, beg tangan, kosmetik, kelengkapan bayi dan kanak-kanak serta barangan keperluan rumah.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Parkson Retail Asia Michael Remsen, Pengarah Eksekutif Parkson Holding Berhad Natalie Cheng.

Beliau berkata, konsep baru yang diperkenalkan itu memberi peluang kepada keluarga bersantai bersama keluarga.

“Jika dulu, mereka perlu keluar menikmati minuman, tetapi kini keadaannya santai kerana ada ruang kafe dan taman permainan kanak-kanak diwujudkan di bangunan ini.

“Sementara golongan ibu membeli-belah, bapa boleh berehat di kafe, manakala anak-anak bermain di taman permainan mini,” katanya.

Katanya, ada 250 jenama dijual di bawah satu bumbung termasuk jenama belum pernah dilihat, malah terdapat juga Jualan Hujung Tahun (YES) dengan tawaran diskaun sehingga 70 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 4:17 AM