MENTERI Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam (dua dari kanan) hadir pada majlis memeterai MoC menghasilkan vaksin halal, semalam.
Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Technology Depository Agency (TDA) dan Hilleman Laboratories (Hilleman Labs) dalam usaha menawarkan vaksin halal pada harga berpatutan kepada rakyat Malaysia.

Di bawah MoC itu Pharmaniaga, TDA dan Hilleman Labs akan bekerjasama menyelaraskan usaha membangunkan dan menghasilkan vaksin yang boleh digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

Pengarah Urusan Pharmaniaga Datuk Farshila Emran berkata, sebagai syarikat berkaitan Kerajaan, Pharmaniaga berusaha konsisten bagi menyediakan produk farmaseutikal pada harga berpatutan.

“Kerjasama pembangunan vaksin ini inisiatif yang baik dan kami bangga menjadi sebahagian daripada penyelidikan bersama dengan syarikat global yang mempunyai reputasi kukuh seperti Hilleman Labs,” katanya.

Menerusinya Pharmaniaga akan membangunkan fasiliti penghasilan vaksin halal di Malaysia manakala Hilleman Labs menawarkan pemindahan teknologi menghasilkan vaksin bagi melindungi masyarakat dunia.

Pharmaniaga akan bertanggungjawab mengendalikan ujian klinikal, menguruskan hal ehwal undang-undang serta mengendalikan aktiviti komersial untuk produk tersebut.

TDA, agensi di bawah Kementerian Kewangan berusaha mendapatkan dana bagi membiayai inisiatif vaksin halal melalui Program Kerjasama Industri (ICP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 7:14 AM