ABDUL Rashid Musa
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) terus mengekalkan momentum pertumbuhan prestasi jualannya yang kukuh setakat tahun ini.

Sehingga 30 Nov 2017, pengeluar kereta nasional itu menjual 66,190 unit kenderaan atau pertumbuhan dua peratus berbanding 65,069 pada tempoh yang sama tahun lalu, didorong oleh model Saga dan Persona.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, Saga dan Persona kekal mendahului semua model Proton yang lain dengan jumlah jualan masing-masing sebanyak 28,368 dan 18,113 unit tahun hingga kini, menyumbang sebanyak 70 peratus daripada jumlah jualan kereta Proton.

Beliau berkata, ia adalah satu perjalanan yang mencabar buat syarikat sejak lima tahun lepas, dengan pertumbuhan yang mantap sejak Januari hingga November 2017 iaitu pencapaian positif bagi Proton.

“Kami akan terus berusaha lebih gigih untuk beberapa bulan akan datang dan berharap pelanggan akan memanfaatkan tawaran hebat akhir tahun untuk kereta Proton.

“Pertumbuhan dilihat berdasarkan penambahbaikan kualiti semasa yang sedang dilaksanakan di peringkat dalaman.

“Bersama rakan kongsi kami, Proton meningkatkan proses penambahbaikan kualiti dan usaha menerusi perkongsian ilmu dan kemahiran luar biasa selain peluang untuk pasukan tempatan dilatih di Zhejiang Geely Holding Group Co Lt di China,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Abdul Rashid berkata, dari semasa ke semasa, kemajuan dilihat semakin positif memandangkan pengeluar kereta nasional itu sudahpun memiliki produk yang lebih baik dan tahan lasak.

“Ketahanan dan kehandalan kereta Proton diuji melalui perlumbaan ketahanan selama sembilan jam di Sepang 1,000km 2017 November lalu di mana kereta Proton diumumkan sebagai juara keseluruhan.

“Kami akan terus berusaha untuk memperbaiki lagi kereta Proton dan berharap dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Malah, dengan kemenangan itu, jualan Iriz menunjukkan peningkatan 2.8 peratus pada November 2017 berbanding Oktober 2017, selepas menunjukkan prestasi yang kurang memberansangkan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 7:19 AM