AHMAD Razif (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara T-Kitchen dengan Brahim’s dan DPIM di Kuala Lumpur.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Kitchen Sdn Bhd (T-Kitchen) menjalinkan kerjasama dengan Brahim SATS Food Services Sdn Bhd (Brahim’s) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bagi membantu meluaskan pasaran produk nasi dagang dan keropok lekor sejuk bekunya di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi T-Kitchen, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya akan memanfaatkan kelebihan Brahim’s sebagai syarikat pemasaran produk makanan terkemuka yang memiliki rangkaian perniagaan tersedia di dalam dan luar negara dan DPIM yang turut akan membantu memasarkan produk makanan tradisional Terengganu ini di cawangan dalam dan luar negara.

“Kami menjangkakan kerjasama dengan dua pihak itu mampu menjana pendapatan sebanyak RM2.5 juta melalui dua produk terbabit di pasaran tempatan dan antarabangsa dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara T-Kitchen dengan Brahim’s dan DPIM, di sini.

T-Kitchen mula mengeluarkan produk nasi dagang sejuk beku dan keropok lekor dengan penghasilan secara tradisional pada 2015 dan sehingga kini sebanyak 50,000 pek produk dijual sejak ia berada di pasaran.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu itu berkata, T-Kitchen yakin produk mereka akan mendapat sambutan positif berikutan permintaan yang tinggi berdasarkan aktiviti perluasan pasaran lain dan eksport produk nasi dagang dan keropok lekor sejuk beku itu ke luar negara.

Menurutnya, T-Kitchen turut menjalinkan kerjasama dengan Global Ikhwan Sdn Bhd dalam membantu pasaran pemasaran produk di premis Restoran Ikhwan di luar negara dan dalam masa sama memulakan penghantaran sebanyak 5,000 pek nasi dagang sejuk beku ke pasaran London melalui anak syarikat Terengganu Inc iaitu Chicken Cottage Investment Ltd, minggu lalu.

“Kami bersedia menghadapi sebarang peningkatan permintaan di masa depan berdasarkan kapasiti kilang pengeluaran kami di Kuala Terengganu yang mampu mengeluarkan 5,000 produk nasi dagang sehari melalui penggunaan ketuhar berteknologi tinggi ‘Combi Oven’ dan mesin pembungkusan automatik,” katanya.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) menandatangani perjanjian dengan Brahim’s bagi mengambil ibu tunggal dan belia Terengganu untuk bekerja di kilang Brahim’s di KLIA, Sepang.

Selain itu, Kerajaan Negeri Terengganu turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2.3 juta kepada Mercy Malaysia bagi memberi bantuan kepada warga Rohingya di Bangladesh melalui kempen Sekampit Beras Untuk Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 9:16 AM