DR Jalaluddin Harun
BERNAMA

Kuala Lumpur: Eksport kayu dan produk kayu dijangka mencatat pertumbuhan lima hingga enam peratus kepada RM23 bilion tahun ini melepasi RM22.11 bilion tahun lalu.

Ketua Pengarah Lembaga Industri Perkayuan Malaysia, Datuk Dr Jalaluddin Harun berkata, bagi 10 bulan pertama tahun ini, eksport kayu dan produk kayu berkembang 6.2 peratus bernilai lebih RM19 bilion.

“Jika kita meneruskan tahap ini, kita akan mencatat hampir RM23 bilion nilai eksport tahun ini dan lebih baik daripada prestasi tahun lalu,” katanya selepas melancarkan produk Angeli Autumn Sky 2017 oleh Forestry Assets Sdn Bhd, semalam.

Malaysia mengeksport kayu dan produk kayu ke lebih 162 negara dengan destinasi utama ialah Jepun, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, India, Australia, Korea Selatan dan Singapura.

Jalaluddin berkata, pertumbuhan positif tahun ini disebabkan eksport produk perabot kukuh yang menyumbang 34 peratus daripada jumlah eksport.

“Dalam 10 bulan pertama 2017, eksport perabot tumbuh 8.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

“Keseluruhan nilai eksport perabot dijangka mencecah RM8.3 bilion tahun ini.

“Industri perkayuan bukan industri yang semakin merosot. Ia cergas dan semakin berkembang,” katanya dengan menambah, bahan mentah yang banyak di negara ini memberi manfaat bagi mengatasi negara pengeluar lain.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus perabot yang dieksport dihasilkan daripada kayu getah iaitu komoditi yang bukan saja menghasilkan susu getah, tetapi juga menjana kekayaan dari segi perabot dan produk kayu.

Mengenai prospek, Jalaluddin berkata, MTIB menjangka eksport perabot akan tumbuh antara lapan dan sembilan peratus kepada RM9 bilion hingga RM10 bilion tahun depan.

Katanya, lembaga itu akan terus memberi tumpuan untuk mempromosi perabot dalaman seperti set bilik tidur, meja makan serta ruang tamu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 8:54 AM