KEVAN di ibu pejabat Smart Reader Worldwide, Kepong.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Smart Reader Worldwide Sdn Bdn (Smart Reader Worldwide), komited untuk meluaskan kehadirannya di peringkat antarabangsa melalui sasaran penerokaan pasaran di Korea dan Afrika Selatan tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Kevan Ong berkata, pasaran itu dipilih berikutan pihaknya menawarkan potensi kepada syarikat untuk berkembang melalui keunikan perkhidmatan pendidikan ditawarkan oleh syarikat untuk industri pendidikan di negara terbabit.

“Selain menerokai pasaran baru, fokus pasaran luar kami pada tahun ini adalah untuk terus meningkatkan pertumbuhan di negara sedia ada seperti Australia dan China,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Sehingga kini, Smart Reader Worldwide sudah memiliki 150 cawangan francais membabitkan enam negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Filipina, Indonesia, Australia dan China.

Beliau berkata, syarikat amat komited menerokai pasaran di luar negara selari dengan matlamat mereka untuk memberikan pendidikan kepada semua kanak-kanak di seluruh dunia sekali gus membuktikan jenama pendidikan tempatan mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

“Kami lihat masih banyak potensi untuk pasaran di luar negara dan memenuhi permintaan terhadap produk seumpama ini sama di negara maju atau membangun,” katanya.

Dalam masa sama, Smart Reader World Worldwide turut konsisten bagi mengukuhkan pasaran tempatan di mana ia berhasrat untuk membuka 10 cawangan di Semenanjung dan Malaysia Timur pada tahun ini.

Menurutnya, pasaran tempatan masih memiliki ruang untuk diterokai terutama di kawasan luar Lembah Klang seperti di wilayah utara, timur dan selatan tanah air di samping Malaysia Timur yang juga memiliki prospek untuk berkembang dengan baik kerana masih ramai individu di sana memerlukan pendidikan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 7:05 AM