JOHARI (kiri) bersama Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Seri Nazir Razak pada Hari Korporat Malaysia Tahunan CIMB ke-10 di Kuala Lumpur, semalam.
JOHARI (kiri) bersama Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Seri Nazir Razak pada Hari Korporat Malaysia Tahunan CIMB ke-10 di Kuala Lumpur, semalam.
Lidiana Rosli dan Azzman Abdul Jamal


Kuala Lumpur: Kerajaan menjangka bajet seimbang bakal dicapai menjelang tahun 2022 atau 2023, kata Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, penangguhan bajet seimbang daripada sasaran awal iaitu pada 2020 itu berikutan pergerakan harga minyak.

“Ketika kerajaan menyasarkan bajet seimbang dicapai menjelang 2020, harga minyak berada pada paras stabil, namun kita memerlukan perbelanjaan untuk meneruskan pertumbuhan dan merangsang ekonomi.

“Jadi, kita memerlukan sedikit masa untuk mencapai bajet seimbang,” katanya pada Hari Korporat Malaysia Tahunan CIMB ke-10 di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih meletakkan sasaran untuk mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

“Sasaran kita (bajet seimbang) masih 2020, tetapi kemungkinan besar ia perlu ditangguh dua hingga tiga tahun lagi. Jika dilaksanakan begitu cepat, ia boleh menjejaskan perbelanjaan, sekali gus memberi impak negatif terhadap ekonomi negara.

“Pemotongan perbelanjaan masih diteruskan, namun tumpuan lebih kepada meningkatkan produktiviti dan membina inovasi serta melaksanakan e-kerajaan supaya kita boleh mengurangkan kos pada masa akan datang.

“Ini bermakna, kita boleh mengehadkan kos di samping pertumbuhan ekonomi dan penambahan jumlah pekerjaan. Itu adalah strategi kita,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Johari berkata, unjuran bagi keseluruhan 2018 dilihat positif dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangkakan menyederhana antara 5.0 hingga 5.5 peratus.

“Bagaimanapun, ekonomi negara perlu kekal kondusif untuk menyokong prestasi makroekonomi yang lebih kukuh walaupun terdapat defisit fiskal yang dijangka berkurangan kepada 2.8 peratus pada 2018 daripada 3.0 peratus pada 2017.

“Pertumbuhan KDNK negara akan terus didorong penggunaan dan pelaburan swasta, peningkatan eksport dan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi dalam projek infrastruktur seperti projek Landasan Kereta Api Pantai Timur, Kereta Api Laju, Jajaran 2 Mass Rapid Transit (MRT2) dan Jajaran 3 Light Rail Transit (LRT3),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 6:48 AM