RITCHIE (kiri) bersama Fyfield pada majlis pelancaran kempen Taste Australia, semalam.
RITCHIE (kiri) bersama Fyfield pada majlis pelancaran kempen Taste Australia, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tesco Malaysia akan terus menawarkan buah-buahan segar import berikutan permintaan yang meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Paul Ritchie berkata, sempena musim perayaan Tahun Baru Cina ini, Tesco tampil melancarkan kempen Taste Australia dengan kerjasama kerajaan Negeri Victoria, Australia.

Katanya, Australia terkenal sebagai negara yang mempunyai reputasi tinggi bagi pengeluaran produk berkualiti dan Tesco menjalin kerjasama erat menyediakan buah segar dari negara itu sejak beberapa tahun lalu.

“Walaupun mencabar, Tesco mahu memastikan pelanggan mendapat produk segar serta terbaik dan menerusi kerjasama ini, kami yakin pelanggan berpuas hati kerana harga yang ditawarkanberbaloi dengan kesegaran buah yang dibawa terus dari Australia.

“Kali ini, Tesco membawa masuk buah ceri, pic, plum dan aprikot yang boleh didapati di semua cawangan seluruh negara bermula Februari hingga Mei ini,” katanya selepas pelancaran kempen Taste Australia di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Asia Tenggara Perdagangan dan Pelaburan Victoria Amelia Fyfield.

Ritchie berkata, rantaian bekalan Tesco akan memastikan pelanggannya mendapat buah paling segar, enak dan berkualiti.

Beliau berkata, pihaknya menyaksikan peningkatan dalam permintaan terhadap buah segar dan produk segar lain.

“Setiap tahun kami membawa masuk pelbagai buah yang menjadi kegemaran dan pilihan rakyat di negara ini dan semestinya pada harga mampu milik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 12:17 AM