MUSTAPA (tengah) menjawab soalan selepas memberi taklimat kemas kini mengenai industri automotif Malaysia 2017 dan prospek industri automotif Malaysia 2018 di Kuala Lumpur, semalam.
MUSTAPA (tengah) menjawab soalan selepas memberi taklimat kemas kini mengenai industri automotif Malaysia 2017 dan prospek industri automotif Malaysia 2018 di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengumumkan kajian semula Dasar Automotif Negara (NAP 2018) pada Julai ini, di mana beberapa pembaharuan akan ditekankan termasuk berkaitan mobiliti, data besar, kenderaan generasi baru, gaya hidup dan perhubungan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian semula itu perlu dilakukan untuk memenuhi keperluan semasa industri.

“Kajian semula NAP adalah wajar kerana ia mengambil kira perkembangan industri. Apa yang saya mahu tekankan, automotif adalah antara industri penting kepada negara kerana ia membabitkan lebih 700,000 pekerja daripada keseluruhan ekonomi 15 juta pekerja dan menyumbang empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu,” katanya kepada media selepas membentangkan perkembangan industri automotif 2017 dan unjuran 2018 di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Phang Ah Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI Datuk Madani Sahari.

Kajian semula NAP bermula pada pertengahan tahun lalu dengan ia turut mengambil beberapa bulan dalam aspek perundingan dengan pihak berkepentingan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, NAP 2018 turut mengambil kira cabaran yang dihadapi pasaran automotif negara yang dianggap matang berbanding negara lain di rantau ini.

“MAI memantau perkembangan ini kerana kerajaan mahu pasaran automotif negara kekal berkembang dalam segenap aspek selain mampu menarik lebih banyak pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan NAP 2018, kerajaan sudah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM3.99 bilion dan pemasangan tempatan mencecah RM15 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2022.

“Kerajaan amat menggalakkan syarikat tempatan untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan penyedia teknologi utama dunia sebagai langkah menjadikan mereka sebahagian daripada sistem automotif global,” katanya.

NAP diperkenalkan pada 2014 di mana kerajaan memberi penekanan kepada tiga aspek iaitu pengurangan pembebasan karbon, keselamatan dan cekap tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 12:19 AM