KEVAN (kanan) dan Keefe di ibu pejabat Smart Reader Worldwide.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Smart Reader Worldwide Sdn Bhd (Smart Reader Worldwide) komited menyediakan tenaga kerja dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di negara ini melalui institusi pengajian tinggi di bawah kendaliannya iaitu Kolej Antarabangsa Smart Reader (Kolej SRI).

Pengarah Eksekutif Smart Reader Worlwide Kevan Ong berkata, kolej itu menghasilkan 10,000 graduan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak sejak ditubuhkan pada 2008.

“Semua graduan atau siswazah kami berada dalam pelbagai peringkat pendidikan awal kanak-kanak dan kami membuka jalan kepada orang ramai mengembangkan kerjaya sama ada sebagai guru, prinsipal, pemilik perniagaan, penulis atau bekerja di luar negara,”katanya .

Sehingga kini, Kolej SRI menawarkan program pendidikan awal kanak-kanak membabitkan tahap pengenalan, sijil, diploma dan ijazah muda serta menawarkan program pengajian lain dalam bidang perniagaan, komunikasi dan pelancongan.

Ia menjalin kerjasama dengan universiti antarabangsa di United Kingdom, Ireland dan Australia, sekali gus membuktikan program pendidikan yang ditawarkan Kolej SRI diiktiraf di peringkat dunia.

Beliau berkata, Kolej SRI ditubuhkan bagi menyokong perniagaan francais Smart Reader di peringkat awal dan berkembang menjadi pembekal utama kepada industri pendidikan di negara ini.

Menurutnya, syarikat melihat penubuhan kolej itu tepat pada masanya kerana ramai tenaga kerja diperlukan dalam pendidikan awal kanak-kanak di pasaran tempatan.

“Kini, siswazah kami bukan saja bekerja untuk kami, malah ada antaranya berkhidmat di sekolah swasta dan luar negara,” katanya.

Pengarah Eksekutif Smart Reader Worldwide Keefe Ong berkata, pihaknya merancang menawarkan lebih pilihan pengajian kepada orang ramai terutama individu yang tidak memiliki masa atau dana untuk belajar.

Menurutnya, syarikat mahu menawarkan sesuatu yang bernilai bagi memberi peluang kepada orang ramai melanjutkan pengajian termasuk melalui pengenalan program latihan.

“Kami merancang program latihan yang berbeza dari semasa ke semasa dengan menyediakan program latihan secara khusus dalam bidang tertentu.

“Kolej SRI akan terus menawarkan perkhidmatan berkualiti pada harga munasabah kepada rakyat Malaysia dan pada masa sama membina kesedaran mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini,” katanya.

“Misi kami ialah menyediakan amalan pengetahuan terbaik kepada pelajar Kolej SRI dan ia akan diterjemahkan dalam bidang pekerjaan dan mereka dijangka mampu memberi sumbangan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 3:14 AM