SERAMAI 490,000 penduduk raih manfaat khususnya golongan wanita dan usahawan.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mewujudkan 150,000 peluang pekerjaan di wilayah pantai timur sepanjang satu dekad ditubuhkan, sekali gus menyeimbangkan komposisi ekonomi di semenanjung Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, dalam tempoh sama, pihaknya melaksanakan program inklusif berkaitan pembangunan modal insan seperti Agropolitan, entrepreneur ECER dan empower ECER dalam memperkasakan ekonomi masyarakat setempat.

Beliau berkata, program Agropolitan disertai 1,092 peserta yang menjana pendapatan bulanan sehingga RM2,100 dan entrepreneur ECER menghasilkan pendapatan RM10,000 hingga RM300,000 setiap bulan.

“Bagi empower ECER, seramai 51,400 pelajar mengambil bahagian dan kira-kira 77 peratus daripada jumlah itu berjaya mempertingkatkan prestasi akademik.

“Malah, 11 peratus populasi penduduk wilayah ekonomi itu mencatatkan peningkatan pendapatan melalui program keusahawanan.

“Sejumlah 97 peratus penerima manfaat daripada limpahan ekonomi di ECER kebanyakannya adalah terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya ketika ditemui.

Sepanjang 10 tahun ini dengan program yang dijalankan, kira-kira 490,000 penduduk di wilayah terbabit memperoleh manfaat khususnya golongan wanita dan usahawan.

Mengulas mengenai kejayaannya, awal tahun ini, ECER berjaya menarik pelaburan sektor swasta berjumlah RM111.6 bilion dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 28 peratus dan melepasi sasaran awal iaitu RM110 bilion menjelang 2020.

Isaace berkata, sejajar kejayaan itu, pihaknya meningkatkan sasaran pelaburan swastanya sebanyak RM70 bilion bermula tahun ini menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan menjadi RM180 bilion menjelang 2025.

Menurutnya, daripada jumlah pelaburan swasta itu 54 peratus adalah pelaburan asing langsung (FDI) manakala selebihnya disumbangkan pelaburan domestik.

Antara sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan pelaburan itu termasuklah pengeluaran (48 peratus), pelancongan (19 peratus), minyak, gas dan petrokimia (12 peratus), bioekonomi (tujuh peratus), hartanah (enam peratus), infrastrutkru (tiga peratus), servis (dua peratus), pertanian (1.6 peratus), logistik (1.6 peratus) dan pendidikan (1.1 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 3:17 AM