PERODUA Myvi baru terima tempahan   48,000 unit.
PERODUA Myvi baru terima tempahan 48,000 unit.
Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) membelanjakan lebih RM5 bilion untuk membeli komponen dan alat ganti kenderaan Perodua yang dihasilkan vendor tempatan untuk tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, semua model Perodua menggunakan 90 peratus kandungan tempatan dan menjangkakan peningkatan jualan tiga hingga empat peratus pada tahun ini.

“Sepanjang tiga tahun lalu, Perodua memperuntukkan RM4.9 bilion untuk tujuan itu dan dengan sasaran jualan sebanyak 209,000 unit tahun ini ia akan memberi kesan positif terhadap permintaan komponen juga kepada keseluruhan industri, ” katanya pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina bersama media dan rakan niaga Perodua di sini, semalam.

Impak sambutan hebat ke atas model Perodua Myvi baharu yang dilancarkan pada hujung tahun lalu dengan tempahan sebanyak 48,000 unit dengan 20,000 sudah diserahkan kepada pembeli antara faktor peningkatan jualan.

“Januari 2018 mencatatkan sejarah jualan bulanan tertinggi Perodua sebanyak 17,963 unit melebihi 40 peratus perkongsian pasaran daripada jualan keseluruhan industri (TIV) 43,930 unit,” katanya.

Katanya, Perodua sudah melabur sekitar RM4.8 bilion hingga RM4.9 bilion setahun sejak 2015 di mana ia memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Meskipun jumlah lebih RM5 bilion ini besar, sumbangan kami terhadap vendor tidak berakhir dengan pembelian komponen semata-mata tetapi kami turut memberi sokongan dalam pembangunan dan pertumbuhan mereka. Kami bekerjasama dengan vendor dengan sebaik mungkin kerana kejayaan kami juga bermakna kejayaan mereka,” katanya.

Bulan lalu, model Perodua mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam segmen masing-masing di pasaran tempatan dengan Myvi merekodkan jualan 9,029 unit, Axia (4,085 unit), Bezza (2,776 unit) dan Alza (1,803 unit).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 5:39 AM