Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@bh.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengunjurkan nilai eksport produk aeroangkasa tahun ini mencecah RM9 bilion berbanding RM8.49 bilion tahun lalu.

Menteri II MITI Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, eksport industri aeroangkasa pula dijangka meningkat sekurang-kurangnya lima peratus tahun ini.

Katanya, pertumbuhan itu antaranya akan disokong oleh peningkatan tempahan tertunggak yang diterima syarikat aeroangkasa tempatan pada tahun ini.

“Nilai eksport industri ini kekal meningkat pada setiap tahun sejak tahun 2015 dengan tahun lalu mencatat rekod apabila melonjak sehingga lebih 50 peratus atau hampir RM3 bilion.

“Justeru, kita jangkakan tahun ini akan terus meningkat sekurang-kurangnya lima peratus, malah mungkin lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pra pelancaran Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIABC 2018) di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MATRADE Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros.

KLIABAC 2018 yang akan diadakan pada 2 hingga 4 Oktober ini bakal disertai sehingga 250 syarikat aeroangkasa dalam dan luar negara yang akan dianjurkan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Katanya, kerajaan menerusi Rangka Tindakan Industri Aero Angkasa Malaysia 2030 yang dilancarkan pada 2015 menyasar untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama aeroangkasa di Asia Tenggara dan menjadi penggiat utama global pada 2030.

“Asia Pasifik bakal menjadi pasaran terbesar penerbangan udara dan Boeing menjangkakan rantau ini memerlukan kira-kira 16,000 pesawat baru pada 2035.

“Dalam tempoh berkenaan, rantau ini akan menyumbang 36 peratus penghantaran pesawat kargo dan penumpang global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 4:39 AM