FITBIT Ionic yang dilancarkan.
FITBIT Ionic yang dilancarkan.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Fitbit, jenama peranti boleh pakai wearable nombor satu di dunia, merancang melancarkan aplikasi pembayaran mudah alihnya Fitbit Pay di Malaysia tahun ini.

Pengurus Negara Fitbit Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Louis Lye berkata, buat masa ini, pihaknya menjalankan siri perbincangan dengan bank tempatan melaksanakan pembayaran mudah alih itu.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan bank yang berminat menyertai kemudahan pembayaran itu.

“Ketika ini, jika anda membuat carian di Internet, anda dapati bilangan perkhidmatan pembayaran mudah alih meningkat mendadak.

“Jadi, kami melihat potensi ini positif serta berharap dapat melancarkan perkhidmatan Fitbit Pay tahun ini,” katanya selepas melancarkan Fitbit Ionic di sini, baru-baru ini.

Fitbit adalah peneraju pengeluar peranti boleh pakai di dunia dan sudah menjual lebih 70 juta peranti sejak mula ditubuhkan 10 tahun lalu di 65 negara.

Mengulas perancangan bagi peranti itu, Lye berkata, pihaknya merancang meningkatkan bilangan rakan peruncit yang menjual produk keluaran Fitbit.

“Ketika ini Fitbit mempunyai 148 rakan peruncit di Malaysia dan selepas ini mahu menumpukan kepada kedai menjual peralatan sukan dan jam tangan,” katanya.

Katanya, perbezaan di antara Fitbit Ionic dengan peranti syarikat lain ialah ia menumpukan kepada kesihatan dan kecergasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 2:06 AM