KHAIRY  bersama  Albern  (dua dari kanan), Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali (kiri) dan  Praveen   ketika majlis  pelancaran inisiatif vcash di Putrajaya, semalam.
KHAIRY bersama Albern (dua dari kanan), Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali (kiri) dan Praveen ketika majlis pelancaran inisiatif vcash di Putrajaya, semalam.
Mohd Zaky Zainuddin

Putrajaya: Digi Telecommunications Sdn Bhd menjangkakan pertumbuhan pasaran dompet elektronik (e-dompet) berkembang pesat di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Digitalnya, Praveen Rajan berkata, perkembangan itu disokong langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang menggalakkan penggunaan penyelesaian tanpa tunai untuk pelbagai perkhidmatan dan pembelian produk di negara ini.

Katanya, pengenalan aplikasi e-dompet oleh Digi dikenali sebagai vcash juga dijangka memberikan hasil positif dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Ia agak baru di Malaysia. Namun, langkah yang perlu diambil oleh pengendali e-dompet adalah dengan meningkatkan kesedaran tentang keberkesanan, kemudahan dan keselamatan aplikasi yang ditawarkan.

“Seperti vcash, kami menawarkan penyelesaian terbaik untuk pengguna yang mahu beralih kepada pembayaran tanpa tunai.

“Dengan aplikasi kami ini, pengguna tidak hanya boleh membuat pembayaran, malah mereka juga boleh menghantar, meminta dan menyimpan tunai dalam telefon pintar,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran inisiatif vcash di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty.

KBS menjadi kementerian pertama menggunakan aplikasi vcash yang diperkenalkan Digi pada November tahun lalu.

vcash boleh digunakan di tiga lokasi di Menara KBS, Putrajaya iaitu Rimau Cafe, KBS Gym dan Kafe Teratai.

Praveen berkata, sebagai pengendali telekomunikasi tempatan yang memiliki 11.7 juta pelanggan, tahap penerimaan vcash oleh pelanggannya dijangka terus meningkat pada masa depan.

“Kami mahu mengembangkan penggunaan vcash bukan saja dalam kalangan pelanggan Digi. Memandangkan 70 peratus rakyat Malaysia adalah pengguna telefon pintar, ia amat berpotensi untuk dijadikan sebagai penyelesaian kerana lebih mudah dan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 3:59 AM