ZAKARIA (dua dari kiri) selepas majlis pengumuman keputusan kewangan FGV di Kuala Lumpur.
ZAKARIA (dua dari kiri) selepas majlis pengumuman keputusan kewangan FGV di Kuala Lumpur.
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sehingga 364.5 peratus kepada RM144 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 berbanding RM31 juta tahun sebelumnya.

Prestasi mantap itu didorong prestasi kukuh segmen perniagaan perladangan, logistik serta lain-lain (LO).

Bagaimanapun, pendapatan syarikat perladangan itu susut dua peratus kepada RM16.975 bilion berbanding RM17.241 bilion tahun sebelumnya berikutan keuntungan terakru yang rendah daripada sektor gula susulan kos gula mentah yang lebih tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad berkata, prestasi keseluruhan tahun lalu bertambah baik sejajar inisiatif transformasi serta pertumbuhan yang dilaksanakan pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia itu tahun lalu.

Beliau berkata, sektor perladangan mencatatkan kemajuan dengan untung RM554 juta daripada RM234 juta tahun sebelumnya.

“Ia disokong pengeluaran buah tandan segar ( FFB), margin jualan MSM yang baik dan prestasi kukuh syarikat usaha sama,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan FGV bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 1:38 AM