SYARIKAT tinjau potensi di Malaysia,  Indonesia dan Afrika.
SYARIKAT tinjau potensi di Malaysia, Indonesia dan Afrika.
Mahanum Abdul Azizma


Kuala Lumpur: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bercadang menambah keluasan ladangnya pada tahun ini dengan meninjau potensi membeli ladang atau tanah baru di Malaysia, Indonesia dan Afrika.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, pengeluar minyak sawit (MSM) terbesar dunia itu bercadang untuk menambah keluasan ladangnya sebanyak 20,000 hektar lagi.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang berunding dengan beberapa pihak mengenai pembelian kawasan ladang baru itu.

“Kami meninjau tanah atau ladang yang menepati kriteria Persidangan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat prestasi kewangan FGV bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Zakaria berkata, FGV juga bercadang untuk menjual dua hingga tiga aset bukan terasnya pada tahun ini sejajar dengan strategi syarikat peneraju perniagaan agro itu untuk menumpukan dalam perniagaan perladangan.

Zakaria berkata, FGV juga akan memberi tumpuan meningkatkan jumlah pemborong utama bagi minyak masak sebanyak 25 peratus di seluruh negara daripada 200 pemborong utama ketika ini.

Beliau berkata, pengeluar MSM itu juga akan terus membangunkan hasil tanaman yang lebih tinggi dan benih kelapa sawit berkualiti menerusi penyelidikan genetik molekul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 12:03 PM