KIOS CCRIS memudahkan pengguna mendapatkan maklumat kredit tanpa perlu ke kaunter.
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bukan laporan senarai hitam, sebaliknya ia menyediakan maklumat positif dan negatif status kewangan peminjam.

Malah, ia juga tidak memberikan apa-apa penilaian terhadap status kredit atau kewangan peminjam.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia, Qaiser Iskandar Anwarudin berkata, CCRIS adalah laporan yang memaparkan rekod pembiayaan dan pembayaran balik peminjam dengan peserta institusi kewangan bagi tempoh 12 bulan.

Beliau berkata, bagi menggalakkan orang ramai mengakses laporan CCRIS, bank pusat itu memperkenalkan eCCRIS pada 19 Januari lalu yang membolehkan orang ramai mengakses laporan itu secara dalam talian menerusi laman web eCCRIS, eccris.bnm.gov.my.

Katanya, perkhidmatan itu adalah percuma.

“eCCRIS menyediakan instrumen dalam talian supaya pengguna dapat memantau dan mengesahkan kedudukan kredit termasuk rekod pembayaran balik pinjaman mereka.

“Malah, platform dalam talian itu juga membolehkan pengguna berhubung secara langsung dengan institusi kewangan untuk pengesahan dan meminda apa-apa maklumat tidak tepat dalam laporan CCRIS mereka,” katanya pada taklimat media mengenai eCCRIS di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff.

Sejak dilancarkan secara rasmi pada 19 Januari lalu, 45,350 pengguna sudah mendaftar dengan eCCRIS.

Untuk mendaftar dengan eCCRIS, orang ramai perlu ke pejabat Bank Negara atau cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara bagi membuat pendaftaran kali pertama. Mereka perlu mengesahkan identiti menggunakan MyKad dan mendaftarkan nombor telefon bimbit yang sah.

Bagi syarikat pula, surat kebenaran dan sijil pendaftaran perniagaan diperlukan untuk wakil yang mendaftar bagi pihak syarikat.

Sebaik mendaftar, PIN enam digit akan dihantar ke nombor telefon bimbit yang didaftarkan dan pengguna dikehendaki memasukkan nombor MyKad dan PIN enam angka untuk mengakses kali pertama laman web eCCRIS, eccris.bnm.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 7:49 AM