ZURY Rahimee.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) berhasrat mencapai pertumbuhan deposit bersih RM1 bilion menerusi kempen Al-Awfar Extr4 Drive 2018 yang bakal bermula April ini.

Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, sasaran itu dapat diraih dengan memperoleh deposit pelanggan baru serta menarik pertambahan deposit pelanggan sedia ada.

“Pada tahun lalu, Bank Islam mengambil langkah baru dengan mengadakan beberapa siri jelajah di seluruh negara bagi kempen itu untuk merangsang pertumbuhan jumlah pendepositnya.

“Hasilnya, Bank Islam mencatat deposit pelanggan RM469.2 juta dan membuka lebih daripada 95,000 akaun Al Awfar baru bagi tahun kewangan 2017,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Bank Islam juga bakal mengadakan 10 siri jelajah bagi kempen Al-Awfar di seluruh negara bagi mempromosikan kepada masyarakat dan mencetuskan kesedaran kepentingan melabur untuk faedah masa depan.

Bagi kempen Al-Awfar Extr4 Drive 2018, Bank Islam menawarkan tiga unit kereta mewah termasuk AUDI A4 Sedan 2.0 TFSI, satu bagi setiap suku tahun sehingga hujung 2018.

“Sebagai tambahan, turut diadakan cabutan istimewa yang membolehkan pelanggan dengan jumlah minimum RM10,000 memenangi AUDI A4 Sedan 2.0 TFSI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 12:34 AM