PRESIDEN Mercedes-Benz Malaysia Dr Claus Weidner (kanan) dan Raine menerangkan mengenai stesen caj elektrik EQ di Pavilion Bukit Bintang, semalam.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) pengedar dan pemasang kenderaan penumpang Mercedes-Benz di negara ini mencatatkan peningkatan jualan 13.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama 2017, rekod terbaik pernah dicatatkan setakat ini.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpangnya Mark Raine berkata, jualan pada Januari lalu merekodkan angka tertinggi sebanyak 1,200 unit dan ia menyumbang kepada 3,335 unit keseluruhannya sehingga Mac.

“Model limosin kami terdiri daripada C, E dan S-Class adalah paling tinggi jualan dengan 1,965 unit diikuti model kompak (596 unit), kenderaan utiliti sukan (SUV) (675 unit) dan koleksi super car (94 unit),” katanya ketika mengumumkan prestasi jualan syarikat itu di sini, semalam.

Menurutnya, peningkatan dua digit itu hasil kerjasama rapat mereka dengan sembilan rangkaian pengedar Mercedes-Benz di Malaysia, penyediaan platform digital untuk ruang pameran dan tempahan servis (OneWeb) serta khidmat selepas jualan terbaik ditawarkan di 33 ruang pameran di seluruh negara.

“Untuk pengalaman lebih eksklusif, RM6 juta dilaburkan pada Februari lalu untuk ruang pameran baru oleh NZ Wheels Klang Autohaus dengan peningkatan rekaan ruang dalaman memenuhi standard Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II) global,” katanya.

Dalam majlis sama, MBM juga melancarkan jenama baru, EQ (Electric Intelligence) untuk mobiliti masa hadapan dengan rangkaian model kenderaan yang diasaskan menggunakan tenaga elektrik.

Model kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) Mercedes-Benz C 350 e dan E 350 e dilancarkan semula di bawah jenama EQ yang direka dengan ekosistem untuk memberikan nilai terbaik, kemudahan dan kemewahan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 9:25 AM