perancangan projek ECRL bersifat jangka panjang.
Shahrizan Salian dan Nora Mahpar dan Amir Hisyam Rasid

Kuala Lumpur: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah sebuah projek mega yang dirancang mampu untuk bertahan sehingga 100 tahun dan manfaatnya terus dapat dinikmati melebihi tempoh itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, projek yang membabitkan kos berjumlah RM55 bilion itu wajar dinilai daya majunya dalam tempoh 30 tahun akan datang memandangkan perancangannya bersifat jangka panjang.

Justeru, beliau menegaskan pelaburan sebesar itu tepat memandangkan pulangan akan diperoleh sama ada oleh kerajaan, rakyat dan MRL sendiri amat tinggi.

“Jika dilihat kepada pelaburan RM55 bilion ini, adalah sukar untuk mencatatkan pulangan modal jika hanya bersandarkan kepada pulangan tambang semata-mata. Perlu diingatkan komponen ECRL adalah 70 peratus kargo yang akan menyumbang besar pendapatan syarikat.

“Ada mempersoalkan sama ada kami boleh mencapai sasaran (fret) 26 juta tan setahun kerana Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) hanya mengangkut enam juta tan setahun, sebaliknya kami mengunjurkan 26 juta tan.

“Namun, keseluruhan pergerakan fret di Semenanjung saja membabitkan 200 juta tan setahun. Jika memperoleh 36 juta tan daripada 200 juta tan ini, ia hanya 20 peratus saja. Kami yakin boleh melakukannya,” katanya dalam satu temubual di Kuala Lumpur.

Darwis berkata, MRL mempelajari dan memperbaiki banyak perkara daripada pengalaman KTMB bagi menjamin kelangsungan serta keberhasilan projek ECRL memandangkan ia mempunyai kapasiti lebih tinggi.

Katanya, kawasan pantai timur ketika ini sedang membangun dan secara tidak langsung menyumbang kepada pendapatan MRL kerana penduduknya pasti menggunakan perkhidmatan ECRL.

“MRL juga menyediakan perkhidmatan kepada pengguna akhir seperti Pelabuhan Kemaman. Kami menyediakan perkhidmatan (logistik) dari pintu ke pintu bagi mengelakkan pengendalian bertindih.

“Sebagai contoh, kami tidak mahu berdepan situasi apabila kapal berlabuh, mereka terpaksa mengangkut barangan ke tren. Apabila turun di Pelabuhan Klang, bertambah satu lagi kerja. Itulah dimaksudkan dengan pengendalian bertindih.

“Jika boleh, mereka hanya perlu menghantar masuk dan memindahkan barangan ke kawasan ditetapkan dan terus ke sistem pelepasan kastam. Ia boleh dibuat serentak dan tersusun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 10:07 AM