ZETI
Wartawan NSTP
bhbiz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Ringgit akan mencatatkan prestasi lebih baik apabila tahap keyakinan pelabur dipulihkan, kata Anggota Majlis Penasihat Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bagi tujuan itu, beliau yang juga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kerajaan baharu bekerja keras untuk menangani semua perkara yang menjadi perhatian.

“Saya percaya asasnya masih di situ dan apabila keadaan fiskal bertambah baik, ia menjadi faktor terakhir membolehkan penarafan kita ditingkatkan.

“Semua kategori lain iaitu sistem kewangan, persekitaran ekonomi makro inflasi, kestabilan .. kita sepatutnya memiliki penarafan lebih tinggi oleh agensi penarafan.

“Namun, disebabkan isu fiskal yang menjadi penyebab kita masih lagi (mendapat penarafan) A tunggal, apabila kita sepatutnya berpotensi diberikan penarafan AA,” katanya dalam satu pertemuan dengan 180 pengurus dana di sini, semalam.

Zeti berkata, rancangan kerajaan untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak sepatutnya menjejaskan penarafan kredit Malaysia selagi kedudukan fiskalnya bertambah baik.

“Kedudukan fiskal boleh ditingkatkan bukan hanya di bahagian pendapatan, malah juga bahagian perbelanjaan. Akan terdapat usaha menyemak semula keutamaan projek, meningkatkan kecekapan kerajaan dan mengurangkan pembaziran dalam sektor awam.

“Semua itu meningkatkan kedudukan fiskal dan apabila kedudukan fiskal bertambah baik, saya percaya kita mendapat penarafan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tempoh untuk memansuhkan GST, Zeti berkata, kerajaan akan mengumumkan rancangan melaksanakannya dalam tempoh 100 hari pertama walaupun proses sebenarnya mengambil masa lebih panjang.

Katanya, Majlis Penasihat Negara bertemu dengan Kementerian Kewangan untuk memberikan pandangan dan penilaian terhadap GST, beberapa perubahan fiskal lain, subsidi dan bagaimana kaedah menangani perkara pendapatan serta pengembangan.

“Ia ditangani dengan cara komprehensif dan teratur. Matlamat utama memberikan kuasa beli yang lebih di tangan rakyat khususnya kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah yang menerima kesan sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 10:10 AM