Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) optimis akan meningkatkan sumbangan pendapatan bukan aeronautik kepada kumpulan sebanyak lima peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata pada masa ini segmen aeronautik dan bukan aeronautik menyumbang kira-kira 50 peratus kepada pendapatan kumpulan.

“Kami menetapkan sasaran untuk meningkatkan pendapatan bukan aeronautik kepada 55 peratus daripada pendapatan Kumpulan selari dengan perkembangan lapangan terbang untuk menjadikannya lebih cekap dan meningkatkan perkhidmatan pelanggan,” katanya di sini.

Pendapatan bukan aeronautik MAHB sepanjang 2017 meningkat 10.5 peratus kepada RM531.1 juta didorong jualan lebih kukuh dicatatkan syarikat konsesi dan peruncit.

Segmen bukan aeronautik adalah termasuk cawangan bebas cukai dan bukan bebas cukai, kedai makanan dan minuman di lapangan terbang yang khusus di Malaysia, operasi hotel, pertanian dan hortikultur dan lain-lain pegangan pelaburan.

Beliau berkata, pihaknya akan turut menaik taraf perniagaan komersial runcit di semua rangkaian lapangan terbang bermula dari Langkawi sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, langkah itu penting kerana keutamaan penumpang kini berubah kepada konsep memperuntukkan masa di cawangan peruncit lapangan terbang di mana mereka kini mahu lebih banyak pengalaman membeli-belah dan persekitaran serta jenama berbeza.

“Kami mahu memperbaikinya supaya kami dapat menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik kepada penumpang kami,” katanya.

Sementara itu, MAHB bercadang memaksimumkan aset sedia adanya iaitu tanah di sekitar rangkaian lapangan terbang bagi pembangunan masa depan seperti KLIA Aeropolis.

Menurutnya, satu lagi kawasan seluas 40.46 hektar sedang dilihat sebagai taman perniagaan MAHB di KLIA untuk tempoh jangka pendek tertakluk kepada hasil kajian menjelang akhir tahun ini.

“Pada tahun depan, kami akan mengumumkan Taman Perniagaan di KLIA bagi menarik pelaburan yang sama seperti lapangan terbang di Subang.

“Untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pula, kami merancang bukan saja menambah ruang tempat letak kereta malah meninjau bangunan hotel dan cawangan premium luaran yang berpotensi di luar lapangan terbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 9:28 AM