TAN Kok Liang
TAN Kok Liang
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyifatkan pengurangan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun 2018 akan memacu industri pengembaraan domestik.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, keputusan kerajaan untuk mengurangkan kadar GST kepada sifar akan memacu industri pengembaraan domestik yang juga penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia.

“Langkah itu akan menggalakkan perbelanjaan dalam kalangan pengguna tempatan dan pelancong, sekali gus berpotensi menjadikan Malaysia lebih menarik sebagai destinasi pengembaraan, beli-belah, makanan dan minuman,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, penerbangan antara semenanjung dan Sabah serta Sarawak akan menjadi lebih rendah dengan kadar baru GST dan ia menjadi petanda baik bagi pelancongan domestik.

“Perubahan dasar itu juga akan mendorong konsistensi dari segi layanan GST antara​​​​​​​ kawasan khas (Labuan, Langkawi serta Tioman) dan destinasi pengembaraan domestik lain.

“Bagaimanapun, tidak jelas sepenuhnya sama ada GST perlu dikenakan kepada produk pelancongan yang dijual​​​​​​​ sebelum 1 Jun untuk pengembaraan pada tarikh itu atau selepasnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 1:03 AM