Petaling Jaya: Pengukuhan harga minyak mentah global yang konsisten ketika ini dijangka membantu memulihkan industri minyak dan gas (O&G) selepas pasaran komoditi itu berdepan situasi kurang memberangsangkan sejak penghujung 2014.

Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Perdana Petroleum Bhd, Datuk Dr Abd Hapiz Abdullah berkata, selagi harga minyak mentah berada pada momentum menaik, industri O&G secara keseluruhannya mampu pulih daripada pasaran yang suram.

“Namun pasti terdapat cabaran kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan seperti harga minyak mentah turun semula. Kita perlu berhati-hati,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Perdana Petroleum Bhd di sini, semalam.

Harga minyak mentah global jatuh di bawah paras AS$45 setong dalam tempoh tiga tahun lalu menyebabkan pengeluar utama minyak mentah dunia mengehadkan pengeluaran mereka bagi menyokong harga komoditi itu.

Ketika ini, harga minyak Brent mencecah AS$79 setong - paras yang pernah dicatatkan tiga tahun lalu.

Sejak lima bulan lalu, Brent mencatatkan peningkatan yang konsisten iaitu lebih 10 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 1:48 AM