Kuala Lumpur: Kerajaan tidak boleh menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terlalu lama kerana akan menyebabkan negara hilang sumber pendapatan dalam jumlah yang besar.

Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, negara juga memperoleh pendapatan daripada hasil minyak mentah yang boleh mengimbangi kesan kekurangan pendapatan negara daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Diharapkan kerajaan tidak tangguh lebih daripada dua bulan (pelaksanaan SST) kerana lebih lama ditangguhkan, lebih banyak pendapatan negara tidak terkutip,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmed Razman berkata, kutipan GST pada 2017 adalah RM43.8 bilion dan dijangka bertambah sehingga RM60 bilion dalam tempoh tiga tahun manakala SST mencatatkan kutipan RM17.2 bilion pada 2014.

Katanya, walaupun terdapat perbezaan hampir RM20 bilion, harus diingat GST diperkenalkan ketika harga minyak mentah dunia merudum di bawah paras AS$50 setong.

“Bagaimanapun ketika ini, harga minyak mentah mencecah hampir AS$80 setong dan ia sekali gus berjaya menampung kekurangan pendapatan negara daripada GST. Kita kena maklum perkara ini,” katanya.

Kerajaan mengumumkan penetapan GST pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun ini. Ia bagi menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan yang akan menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika mereka berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada masa sama, Ahmed Razman berkata, cadangan untuk menggantikan GST dengan SST dilihat berupaya menurunkan harga barangan keperluan harian termasuk makanan dan minuman jika penguatkuasaan pelaksanaannya dibuat dengan betul.

Katanya, berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP), harga makanan mencatatkan peningkatan ketara iaitu sehingga 30 peratus sejak 2010 hingga 2017.

“Jika kita perhatikan kemampuan rakyat dalam kuasa membeli, adalah wajar jika GST dihapuskan kerana sejak GST dilaksanakan pada April 2015, kita lihat harga barangan dan makanan naik mendadak.

“Saya fikir dengan tindakan ini, ia mampu menurunkan harga barangan atau paling tidak mengekalkannya pada paras sedia ada. Namun, penguatkuasaan dan mekanisme perlu ada agar ia tidak berlaku sebaliknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 2:03 AM