Kakitangan MAHB, Nur Athirah Hishamuddin menunjukkan aplikasi MYairports ketika majlis pelancarannya di KLIA, semalam.
Kakitangan MAHB, Nur Athirah Hishamuddin menunjukkan aplikasi MYairports ketika majlis pelancarannya di KLIA, semalam.
Nasuha Badrul Huzaini

Sepang: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan RM30 juta untuk melaksanakan inisiatif digital Airports 4.0 dengan menjadikan interaksi digital bersama penumpang sebagai keutamaan.

Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata, peruntukan itu membabitkan penyepaduan Analisis Data Raya (BDA) bertujuan meningkatkan tahap perkhidmatan sebagai satu daripada inisiatif di bawah teras Pengalaman Lapangan Terbang Menyeluruh (TAE).

Katanya, MAHB kini melaksanakan pembaharuan digital merangkumi penggunaan peranti BDA dan Internet Kebendaan (IoT) bagi menambah baik operasi lapangan terbang.

“Antara kemajuan terbaru kami dalam pembaharuan digital adalah pelancaran aplikasi mudah alih
MYairports yang dibangunkan bagi membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka lebih awal.

“Aplikasi mudah alih ini memudahkan penumpang merancang perjalanan
di samping mendapat kemas kini langsung mengenai maklumat penerbangan mereka.

“Penumpang boleh mengetahui jangkaan masa untuk memasuki pesawat, maklumat beli-belah, promosi makanan dan minuman serta maklumat lapangan terbang yang penting,” katanya selepas pelancaran aplikasi berkenaan di sini, semalam.

MAHB menyasarkan lebih 10,000 muat turun aplikasi MYairports yang menyediakan perjalanan lancar ke lapangan terbang menjelang akhir tahun ini.

Aplikasi MYairports boleh dimuat turun menerusi platform Google Playstore
dan App Store.

Buat masa ini, aplikasi berkenaan hanya digunakan pengguna Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, Badlisham berkata, aplikasi itu dijangka boleh digunakan penumpang terminal klia2 bulan depan dan beberapa lagi lapangan terbang antarabangsa di negara ini dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Sebagai penjaga kepada 39 lapangan terbang di negara ini, kami sentiasa memikirkan cara untuk menambah baik pengalaman perjalanan penumpang.

“Menjelang akhir 2019, lebih banyak sistem akan diperkenalkan termasuk sistem pengurusan aturan automasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 9:56 AM