X
MOHD Naim
MOHD Naim
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan 80.58 peratus dalam jumlah penggunaan perkhidmatan elektronik utama i-Akaun dalam suku tahun pertama operasi kepada 11.12 juta berbanding 6.16 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Sehingga akhir Mac 2018, 5.06 juta ahli berdaftar dengan i-Akaun, mewakili 36.38 peratus daripada keseluruhan jumlah ahli KWSP yang merekodkan peningkatan jumlah muat turun aplikasi mudah alih EPF i-Akaun kepada 2.36 juta sejak diperkenalkan pada 2014.

Selain itu, beberapa penambahbaikan diperkenalkan pada i-Akaun bagi memudahkan ahli menerima maklumat terkini mengenai produk dan perkhidmatan KWSP secara real-time serta pengumuman lain.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, KWSP memperkenalkan beberapa penambahbaikan pada saluran perkhidmatannya berikutan jumlah ahli dan majikan yang meningkat setiap suku tahun.

“Kami lebih mengkhususkan kepada perkhidmatan i-Akaun berikutan peranannya sebagai gerbang utama untuk ahli dan majikan menyemak akaun selain mengakses perkhidmatan atas talian lain seperti e-Pengeluaran dan e-Caruman.

“Selain itu, kami gembira dengan peningkatan dalam penggunaan i-Akaun oleh majikan berdaftar dengan KWSP yang sangat membantu majikan mengemukakan maklumat caruman pekerja serta membuat pembayaran atas talian.

“Ia juga dapat mengurangkan kesilapan selain memastikan majikan tidak tertunggak dalam membuat bayaran caruman mereka setiap bulan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada penghujung Mac 2018, 433,691 atau 99.95 peratus majikan menggunakan saluran elektronik KWSP, termasuk e-Caruman untuk mengemukakan maklumat caruman pekerja manakala 333,550 atau 77.22 peratus menggunakan sistem e-Bayaran bagi membuat bayaran caruman.

Sementara itu, dalam suku tahun dikaji, jumlah pelawat ke laman myEPF meningkat 29.11 peratus kepada 8.66 juta dari 6.71 juta pada tempoh sama tahun lalu manakala, penggunaan kios KWSP menurun sebanyak 11.22 peratus dari 3.81 juta pada suku pertama 2017 kepada 3.38 juta suku pertama 2018.

Mohd Naim berkata, jumlah pelawat ke kaunter KWSP menurun 12.88 peratus dari 929,729 dalam suku pertama 2017 kepada 810,022 dalam suku sama tahun ini menunjukkan pilihan ahli cenderung kepada platform atas talian untuk berinteraksi dengan KWSP.

Katanya, jumlah panggilan yang diterima Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP pula meningkat 15.43 peratus kepada 425,873 pada suku tahun yang dikaji.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 10:10 AM
Digital NSTP Subscribe