Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Grab Holdings Inc (Grab), platform mudah alih O2O (atas talian dan luar talian) terkemuka di Asia Tenggara mengumumkan persetujuan dengan Toyota Motor Corporation (Toyota) untuk melabur AS$1 bilion (RM4 bilion) sebagai pelabur utama dalam pusingan pembiayaan berterusannya.

Sebagai sebahagian dari perjanjian itu, Grab dan Toyota akan mengukuhkan dan mengembangkan kerjasama sedia ada mereka di kawasan yang dihubungkan untuk memacu pelaksanaan penyelesaian mobiliti baru di Asia Tenggara.

Presidennya, Ming Maa berkata, pelaburan daripada Toyota itu adalah yang terbesar oleh pengilang automotif dalam sektor pengangkutan global di mana ia akan membawa Grab lebih dekat untuk mencapai visi menjadi platform mobiliti sehenti di Asia Tenggara.

“Kami merancang untuk berkerjasama dengan rakan untuk mewujudkan rangkaian pengangkutan yang lebih cekap dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar Asia Tenggara, sekali gus menjadikan akses mudah alih boleh dicapai semua individu serta menyediakan peluang untuk meningkatkan pendapatan kepada rakan pemandu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pelaburan Toyota dalam Grab itu juga berdasarkan keyakinan terhadap kepimpinan syarikat dalam memacu pelaksanaan penyelesaian mobiliti baru dan memperluaskan perkhidmatan mudah alih O2O seperti GrabFood dan GrabPay di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 10:40 AM