LIM (kiri) menunjukkan produk beras yang dikeluarkan Jasmine Food di Seksyen 25, Shah Alam.
Sofyan Rizal Ishak


Shah Alam: Jasmine Food Corporation Sdn Bhd (Jasmine Food), pengedar produk beras jenama Jasmine merancang untuk mempertingkatkan kapasiti pengeluaran berasnya kepada 6,000 tan sebulan melalui pelaburan bernilai RM30 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Swee Keat berkata, pelaburan yang bakal membabitkan aspek jentera dan premis itu adalah inisiatif yang digariskan melalui program lima tahun syarikat bagi memenuhi permintaan terhadap beras yang dijangka terus meningkat pada masa depan.

“Langkah ini akan membantu kami dalam meningkatkan pengeluaran beras syarikat kepada 45 peratus atau bersamaan 20,000 sebulan dalam tempoh terbabit berbanding 14,000 tan sebulan pada masa ini,” katanya.

Secara purata, jualan beras Jasmine Food adalah 14,000 tan beras sebulan di mana ia sudah mencapai tahap kapasiti pengeluaran maksimum berdasarkan keupayaan cawangan dan kilangnya.

Beliau berkata, pelaburan itu akan menyaksikan syarikat menggunakan mesin berteknologi tinggi dan robotik yang dilihat mampu meningkatkan kelajuan pengeluaran tanpa membabitkan ruang luas sekali gus turut mengatasi masalah tenaga buruh.

Menurutnya, syarikat juga sedang dalam proses mengenal pasti premis baru yang mungkin akan dibuka di Johor dan pantai timur sebagai persediaan bagi menampung peningkatan pengeluaran beras dalam tempoh masa terbabit.

“Kami akan memulakan kerja meningkatkan fasiliti pengeluaran ini bermula pada tahun depan dan kami harap langkah ini turut akan membantu kami dalam mencapai penguasaan pasaran kepada 12 peratus berbanding di bawah 10 peratus pada masa ini,” katanya.

Jasmine Food adalah sebuah syarikat perniagaan warisan keluarga yang kini beroperasi lebih daripada 60 tahun dan menjalankan perniagaan beras dan bihun serta mengedarkannya di pasaran seluruh negara.

Sehingga kini, syarikat itu memiliki lebih 10,000 pelanggan dengan tujuh cawangan di Alor Setar, Prai, Ipoh, Seremban, Kuantan dan Johor Bahru serta sebuah kilang padi di Tunjang, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 9:44 AM