Mohd Husni Mohd Noor dan Irwan Shafrizan Ismail


GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus beriltizam untuk meneruskan mandat bagi menjaga kestabilan kewangan demi kepentingan negara.

Nor Shamsiah berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan dan juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas peluang (pelantikan) ini.

"Saya rasa berbesar hati dan akan menggalas tangungjawab ini dengan sebaiknya dan bekerja secara sepasukan dengan kakitangan lain di BNM," katanya.

Pelantikan Nor Shamsiah sebagai Gabenor diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada satu sidang media khas di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Guan Eng berkata, pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 19 Jun lalu.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan cadangan pada 18 Jun lalu kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Nor Shamsiah dilantik sebagai Gabenor selama tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai hingga 30 Jun 2023.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 6:03 PM
LIM (kanan) berbual bersama Nor Shamsiah (kiri) selepas sidang media memperkenalkannya sebagai Gabenor Bank Negara baharu. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Ismail Bakar. FOTO Mohd Fadli Hamzah