[email protected].m

Kuala Lumpur: Petronas akan membayar dividen sebanyak RM24 bilion kepada kerajaan pada tahun ini berbanding RM16 bilion yang dibayar tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, ia susulan prestasi kewangan memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini.

Ini adalah antara bayaran dividen tertinggi yang pernah dicatatkan oleh syarikat minyak negara itu selain pada 2015 iaitu RM26 bilion, sebelum krisis minyak global melanda.

Awal tahun ini, Petronas menyatakan komitmennya untuk membayar dividen RM19 bilion kepada kerajaan pada 2018.

Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM26.6 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2018, meningkat 54 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan yang diraih syarikat minyak dan gas negara itu pada enam bulan pertama tahun ini meningkat lapan peratus kepada RM117.2 bilion, berbanding RM108.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Wan Zulkiflee berkata, Petronas mengunjurkan purata harga tahunan minyak mentah Brent pada paras AS$66 setong pada 2019 bagi melancarkan operasi dan pengembangan syarikat.

“Sebarang perbelanjaan dan perancangan kami tahun depan adalah berdasarkan purata harga minyak berkenaan. Kami sentiasa konservatif (dalam jangkaan harga minyak) supaya syarikat lebih selesa dan kekal berdaya maju melangkah ke hadapan,” katanya pada sidang media mengumumkan laporan kewangan separuh pertama Petronas di sini, semalam.

Beliau berkata, Petronas memperuntukkan kira-kira RM50 bilion tahun ini bagi perbelanjaan modal dalam usaha memacu pengeluaran lebih tinggi dan melaksanakan strategi jangka panjang.

Sementara itu, Wan Zulkiflee turut mengesahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi akan menamatkan perkhidmatan sebagai penasihat syarikat itu akhir bulan ini.

“Ya, seperti yang kami sedia maklum, khidmat penasihat kami akan ditamatkan pada akhir bulan ini dan syarikat mahu mengambil peluang ini untuk berterima kasih di atas sumbangan Tun Abdullah kepada Petronas selama ini,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tidak ada keperluan bagi jawatan penasihat untuk Petronas berikutan syarikat itu sudah menunjukkan prestasi memberangsangkan di peringkat antarabangsa.

Abdullah dilantik sebagai Penasihat Petronas pada April 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 4:05 AM