Hazwan Faisal Mohamad


HUAWEI Technologies Co Ltd terbuka dengan potensi untuk bekerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi melaksanakan projek infrastruktur menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di negara ini.

Ketua Pegawai Teknologi Huawei Technologies, Paul Scanlan berkata, buat masa ini tiada perbincangan secara terus dibuat di antara pihaknya dan TNB mengenai agenda telekomunikasi syarikat utiliti elektrik negara berkenaan.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan TNB pada masa akan datang kerana kerjasama di antara syarikat utiliti dan telekomunikasi membolehkan perkhidmatan jalur lebar ditawarkan pada harga lebih rendah menerusi penjimatan kos memandangkan 65 peratus daripada kos keseluruhan HSBB membabitkan kos operasi.

“Syarikat utiliti menawarkan projek stesen jana kuasa sementara syarikat telekomunikasi memiliki pusat data dan lain-lain kemudahan yang mampu melengkapi satu sama lain.

“Saya tidak mengatakan ya atau tidak terhadap potensi kerjasama ini namun kita akan mengkaji peluang ini,” katanya pada sidang media selepas sesi forum di Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Scanlan adalah antara panel bagi sesi forum bertajuk Pendigitalan bekalan tenaga elektrik (ESI) dan Revolusi Perindustrian 4.0 yang turut disertai Naib Presiden Kanan Kumpulan Bahagian Grid Kuasa Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika ABB Group, Venu Nuguri dan Naib Presiden Eksekutif TEPCO Power Grid Inc, Dr Hiroshi Okamoto.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 2:14 PM